May 6, 2016

Malim gunung maut, motosikal rempuh traktor

Pihak polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Dungun.

NURUL ZAILA MOHD TAHIR

HULU DUNGUN - Seorang Malim gunung, Mohd Khairie Alias, 25 maut akibat tercampak sejauh kira-kira 14. 5 meter setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah traktor dalam nahas jalan raya di jalan Jongok Batu Air-Chemerong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam, Mohd Khairie Alias, 25 yang berasal dari kampung Belimbing Jongok Batu  mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia serta merta di lokasi tersebut.

Sewaktu kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak MS  dalam perjalanan ke kawasan perkelahan Air Terjun Chemerong untuk menyertai solat hajat sebelum mengikuti ekspedisi mendaki gunung berembun yang dijadual bermula hari ini.

Bapanya, Alias Ismail, 53 berkata, anaknya beria-ia untuk pergi dahulu ke kawasan perkhemahan kerana bimbang tiada orang yang akan menguruskan program solat hajat.

"Saya mengajak dia untuk pergi bersama-sama ke program solat hajat tetapi dia memutuskan untuk pergi dahulu.

"Tidak lama selepas itu saya mendapat panggilan daripada anak saudara mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi.

"Saya juga seorang malim gunung dan banyak perkara yang dia belajar daripada saya memandangkan dia masih baharu dalam bidang ini.

"Beberapa hari sebelum ini saya perhatikan dia sangat seronok dan teruja untuk mengikuti ekspedisi itu kerana sudah berjanji dengan adik-adiknya untuk membawa mereka ke bandar Dungun setelah mendapat bayaran kelak, "katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dari arah Jongok  Batu Air  yang ditunggang mangsa telah terbabas dan terlanggar dengan sebuah traktor membawa muatan kelapa sawit yang datang dari arah bertentangan.

"Penunggang telah meninggal di tempat kejadian dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Dungun untuk  bedah siasat dan pegawai perubatan mengesahkan punca kematian disebabkan oleh kecederaan teruk di kepala.

"Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sinar Harian
5 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment