May 21, 2016

Lubang maut sedalam 10 meter

Abdul Samat (kanan) dan Ahmad (kiri) bersama pengguna lain menunjukkan lokasi runtuhan.

BALING - Sebuah jalan yang berlubang sedalam 10 meter di Kampung Lalang Mukim Siong di sini, hanya menunggu masa untuk runtuh sepenuhnya apabila sebahagian daripadanya semakin teruk terhakis.

Difahamkan, jalan yang menghubungkan Kampung Lanai dengan Charuk Bunting dan Lebuh Raya Durian Burung itu dilalui lebih 700 pengguna jalan raya dari kedua-dua kampung berkenaan untuk ke beberapa destinasi utama seperti pekan, masjid dan sekolah.

Penduduk, Ahmad Awang, 52, berkata, masalah itu berpunca dari tebing konkrit laluan air yang dibina bersebelahan jalan berkenaan runtuh dan terbiar sejak lima tahun lalu.

“Tebing runtuh itu mengakibatkan tanah terhakis, malah ia semakin teruk terhakis setiap kali hujan.

“Keluasan jalan yang berlubang akibat hakisan itu pula dianggarkan seluas 20 meter,” katanya di sini, semalam.

Halimatun Sadiah Mt Isa, 36, pula berkata, jalan terbabit tidak dipasang papan tanda amaran sehingga membahayakan pengguna jalan raya, terutama pada waktu malam.

Menurutnya, penduduk bimbang keselamatan orang ramai terutama orang luar yang berkemungkinan boleh terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

Katanya, masalah itu sudah berlarutan lama dan aduan sudah dibuat kepada pihak berkenaan, namun tiada sebarang tindakan positif yang diambil.

Seorang kanak-kanak, Mohd Azham Azman, 12, berkata, rakannya pernah terjatuh ke dalam lubang berkenaan ketika mengayuh basikal di lokasi itu dua minggu lalu.

“Ketika kejadian, saya dan kawan saya sedang menunggang basikal berasingan, tiba-tiba kawan saya terjatuh ke dalam lubang itu sebab dia tak nampak jalan berlubang.

“Sampai sekarang, saya sendiri takut untuk lalu di kawasan itu. Tambahan pula jika menunggang basikal berseorangan,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Abdul Samat Omar, 49, berkata, pihak berwajib diminta segera membaik pulih jalan berkenaan.

Katanya, penduduk berdepan dengan risiko keselamatan yang mengancam nyawa sekiranya keadaan jalan itu terus dibiarkan.

“Sebelum ini pun sudah ada pengguna jalan yang menjadi mangsa, termasuk kanak-kanak yang terjatuh ke dalam lubang itu.

“Harapan penduduk di sini agar jalan yang berbahaya itu dibaik pulih segera oleh pihak berkenaan,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment