May 11, 2016

Lima beranak berteduh di pondok usang



Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kulai turut membuat pemeriksaan kesihatan dan memberikan bekalan ubat untuk keluarganya. 

Nor Ashraff (kanan) menyampaikan bantuan segera kepada Wahidan dan keluarganya.

SHAHIZATUL FARHA S ROSLI

KULAI - Akibat kesempitan wang, lima beranak terpaksa tinggal di pondok yang dibina di dalam sebuah ladang getah berhampiran Taman Putri, di sini, tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik sempurna.

Wahidan Daud, 58, berkata, dia mula tinggal di pondok berkenaan sejak enam bulan lalu bersama isteri, Kamariah Abdul Kahar, 40, dan tiga anak berusia 6, 10 serta 16 tahun selepas dia menerima upah menoreh getah di ladang berkenaan.

“Saya tinggal di sini bersama anak-anak. Sumber air kami ambil dari anak sungai berhampiran untuk minum dan memasak. Adakala saya akan memancing untuk dapatkan ikan.

“Saya mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 17 tahun tetapi dia dah berkahwin dan tidak tinggal di sini, manakala anak kedua saya, lelaki berusia 16 tahun hanya bekerja di gerai goreng pisang.

“Pada awal pagi, saya akan menoreh getah dengan upah RM1 untuk sekilo getah. Seminggu saya akan dapat kira-kira RM200 daripada tauke tetapi jika hujan, saya tak dapat menoreh, jadi kami tiada upah,” katanya.

Tak mampu bayar sewa rumah

Wahidan yang bertaraf Penduduk Tetap (PR) berkata, sebelum ini mereka tinggal di Flat Taman Putri berhampiran ladang berkenaan, namun terpaksa berpindah kerana tidak mampu membayar sewa rumah dan bil air serta elektrik yang tertunggak.

Lebih memilukan, apabila semua anaknya tidak bersekolah kerana tidak mempunyai sijil kelahiran, malah isterinya turut mempunyai masalah mental dan pernah mendapat rawatan di hospital sakit jiwa serta perlu mengambil ubat secara berkala setiap hari.

“Kami berasal dari Indonesia dan berhijrah ke Malaysia selepas berkahwin di sana. Saya sudah mendapat taraf PR tetapi isteri masih bertaraf negara asal.

“Semua anak kami dilahirkan di Johor tetapi mempunyai masalah untuk mendaftar kelahiran kerana sijil pernikahan kami hilang ketika dikemas oleh isteri dan dia tidak dapat mengingat dengan baik kerana masalah mental dihidapi,” katanya.

Wahidan berkata, dia perlu membawa isterinya ke klinik kesihatan berhampiran untuk mengambil ubat, namun adakala mereka tidak dapat berbuat demikian mengikut jadual kerana kekurangan wang.

“Kami perlu bayar RM50 setiap kali ambil ubat untuk isteri kerana dia masih bertaraf warga asing, adakala dia terputus bekalan ubat jika saya tidak mempunyai wang mencukupi.

“Dia perlu makan ubat setiap hari, jika tidak dia tidak akan kenal saya dan anak-anak,” katanya.

Justeru katanya, dia berharap ada pihak sudi membantunya menampung kos perubatan isteri dan membantu menyelesaikan masalah sijil kelahiran anaknya supaya mereka dapat meneruskan sesi persekolahan.

“Saya reda tinggal di sini tetapi berharap ada pihak sudi membantu urusan sijil kelahiran dan persekolahan anak serta wang perubatan isteri berjumlah RM50 sebulan,” katanya.

"Saya nak jadi cikgu'

Sementara itu, anak ketiga Wahidan, Effa, 10, meluahkan hasratnya untuk bersekolah seperti kanak-kanak seusia dengannya dan mencapai cita-cita menjadi guru.

“Saya mahu jadi cikgu tetapi saya tak pernah ke sekolah. Saya teringin nak sekolah, sekarang saya boleh baca sedikit-sedikit dan kenal nombor.

“Saya harap dapat pergi ke sekolah bersama adik macam rakan-rakan lain,” katanya.

Kesempitan hidup Wahidan dan keluarga sebelum ini turut diviralkan menerusi laman sosial Facebook selepas didedahkan seorang peniaga, Jeffri Senin yang menemui keluarga terbabit  tinggal dalam kedaaan serba kekurangan di ladang berkenaan.

Susulan pendedahan itu, keluarga itu turut dikunjungi pelbagai agensi termasuk Majlis Agama Islam Johor (Maij), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Daerah Kulai, Wanita Umno Cawangan Taman Puteri dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 15.

Hulur bantuan segera

Sementara itu, Pegawai Pelindung Kanak-kanak JKM Daerah Kulai, Zunaizah Mohd Yusuf berkata, pihaknya akan menempatkan dua anak perempuan pasangan terbabit berusia 6 dan 10 tahun di Institusi Kanak-kanak JKM.

“Kami telah menyelamatkan dua kanak-kanak itu mengikut Seksyen 10 di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan menempatkan mereka sementara di pusat perlindungan JKM.

“Pihak kami juga akan membantu keluarga ini mendaftarkan kelahiran anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar mereka dapat bersekolah semula,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Amil Baitulmal Maij Daerah Kulai, Nor Ashraff Hashim berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan segera wang tunai RM500 dan barangan keperluan dapur kepada keluarga tersebut.

Sinar Harian 10 Mei 2016


Mahligai pondok usang

Wahidan mengemaskan barang keperluannya di pondok usangnya yang terletak di tengah ladang getah.

Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Kulai: “Hanya ini yang mampu saya sediakan untuk anak-anak dan selama tempoh enam bulan, tiada siapa tahu kami lima beranak tinggal di pondok usang dalam semak ini,” kata penoreh getah Wahidan Daud, 58.

Wahidan dan keluarga menempuh pengalaman hidup getir selama setengah tahun tinggal di pondok usang dalam ladang getah berhampiran Taman Putri, di sini, selain bergantung hidup kepada sumber alam semujadi di situ.

Dia dan isteri, Kamariah Kahar, 40, serta tiga anak berusia lima, sembilan dan 16 tahun hanya bergantung kepada sumber air anak sungai untuk diminum dan memasak, selain menggunakan pelita menerangi pondok pada waktu malam.

Mereka memasak menggunakan dapur kayu dan kebiasaannya mencari pucuk tumbuhan yang hidup di kawasan ladang getah itu sebagai sayuran, selain memancing ikan di sungai berdekatan untuk dijadikan lauk.

Wahidan bersyukur diterima bekerja sebagai penoreh getah di ladang berkenaan, malah dibenarkan tinggal di situ biarpun tiada bekalan air dan elektrik.

Mempunyai status sebagai Penduduk Tetap (PR), Wahidan dan keluarganya sebelum ini tinggal di Flat Taman Putri, di sini, namun terpaksa berpindah kerana tidak mampu membayar sewa rumah dan bil air serta elektrik yang tertunggak beberapa bulan.

“Tinggal di pondok ini, anak-anak mengadu tidak selesa kerana tiada kemudahan dan tidak tahan gigitan nyamuk, tetapi lama-kelamaan mereka mengerti dan reda,” katanya.

Wahidan mendapat upah RM1 untuk sekilogram getah ditorehnya dan kurang RM200 sebulan menjadikan pendapatannya jauh daripada mencukupi untuk menampung kehidupan.

Kehidupan Wahidan menjadi lebih mencabar apabila terpaksa memberi tumpuan kepada isterinya yang mengalami masalah mental, selain kerap menghilangkan diri dari rumah.

Wahidan perlu membayar RM50 setiap kali mahu mengambil ubat untuk isteri kerana dia bukan warganegara, sekali gus menyebabkannya sering terputus bekalan ubat kerana kesempitan wang.

“Saya bersyukur anak perempuan berusia 17 tahun sudah berkahwin dan tidak tinggal bersama merasai keperitan hidup ini.

“Anak lelaki berusia 16 tahun kini bekerja di gerai makanan bagi meringankan beban. Namun kebimbangan saya bukan saja mengenang keselamatan keluarga, malah anak juga tidak bersekolah,” katanya.

Semua anak Wahidan tidak mempunyai sijil kelahiran kerana isterinya berasal dari Indonesia dan berhijrah ke Malaysia selepas berkahwin di negara berkenaan dan hanya memiliki taraf PR.

“Semua anak kami dilahirkan di Johor, tetapi mempunyai masalah mendaftar kelahiran kerana sijil pernikahan kami hilang.

“Oleh itu, status warganegara anak sering menjadi tanda tanya dan saya berharap ada pihak membantu mereka supaya memiliki masa depan lebih cerah,” katanya.

Kehidupan serba kekurangan lima beranak itu terbongkar apabila seorang sukarelawan Jeffri Senin yang menemui keluarga terbabit mendedahkannya di Facebook.

Selepas pendedahan itu, keluarga terbabit dikunjungi Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Daerah Kulai.

Pegawai JKM Kulai Mohd Iskandar Abu Bakar berkata, dua anak perempuan Wahidah diselamatkan pihaknya dan diberikan perlindungan sementara.

“Kami merujuk permasalahan kanak-kanak itu yang tiada dokumen pengenalan diri dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Ketika kunjungan ke pondok mereka, kami turut menyampaikan bantuan segera RM300,” katanya.

myMetro 11 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment