May 23, 2016

Letupan 3.20 pagi

KEBAKARAN melibatkan sebuah bengkel kereta yang menyebabkan 10 kereta dan juga sebuah forklif musnah.

Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Klang: Penduduk berhampiran Jalan Rebana, Taman Klang Jaya, di sini, dikejutkan dengan bunyi beberapa letupan sebuah bengkel yang turut memusnahkan 10 kenderaan di dalamnya.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi semalam, api marak membakar premis terletak kira-kira 100 meter daripada beberapa taman perumahan berhampiran.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Affendi, 37, berkata, dia terdengar bunyi letupan sebelum bergegas ke luar rumah.

“Saya sedang tidur bersama isteri dan anak-anak sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan yang menggegarkan rumah. Apabila saya melihat menerusi tingkap rumah, ada beberapa jiran lain sudah keluar melihat kebakaran itu.

“Beberapa minit kemudian, jentera bomba tiba bagi memadamkan kebakaran berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini. semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.30 pagi dan sepasukan 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kebakaran.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir dua jam bagi memadamkan kebakaran itu secara keseluruhannya.

“Sebanyak 10 kereta serta sebuah jentera pengangkat gagal diselamatkan dan musnah dalam kebakaran terbabit.

“Bangunan premis kelas A itu juga musnah 100 peratus dan api berjaya dipadamkan jam 5.15 pagi,” katanya kepada Harian Metro.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan anggota forensik bomba yang turut tiba di lokasi sejurus api berjaya dipadamkan.

myMetro 23 Mei 2016


11 kenderaan hangus

ANTARA kenderaan yang terbakar. FOTO ihsan bomba

Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Klang: Sepuluh kereta dan satu jentera pengangkat musnah dalam kebakaran di bengkel kenderaan di Taman Klang Jaya, awal pagi tadi.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.30 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Andalas dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa hampir dua jam untuk memadam kebakaran di bengkel berkenaan.

"Kebakaran membabitkan bangunan kelas A yang musnah 100 peratus dan api dipadamkan 5.15 pagi tadi.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

myMetro 22 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment