May 5, 2016

Lemas ketika memancing di tasik

KANGAR -  Seorang pekerja di sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Jejawi ditemukan lemas dipercayai akibat tergelincir ketika sedang memancing di Taman Rekreasi Tasik Melati di sini petang tadi.

Mayat Nurul Haadie Shaharan,32, dari Taman Muhibbah, Jejawi di sini ditemukan pada 7 malam tadi oleh orang awam yang  berkunjung ke tasik itu untuk melakukan aktiviti riadah sempena hari cuti hari ini.

Penolong Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Kangar, Abdul Rahim Baharom berkata  berdasarkan maklumat orang awam  mangsa dijumpai terapung dekat tepi semak di tasik itu dalam keadaan meniarap.

"Bomba menerima makluman kejadian ini pada jam 6.35 petang daripada pihak polis yang diberitahu melalui panggilan telefon oleh orang awam yang melaporkan dia telah terjumpa seorang lelaki mati lemas di tasik berkenaan.

"Sejurus itu seramai 10 anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian termasuk lima anggota dari unit skuba balai bomba Kangar  untuk mengesan mangsa dan operasi tamat sebaik mangsa berjaya dikesan pada jam 7.16 malam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Abdul Rahim berkata, kejadian lemas di taman rekreasi itu merupakan kes pertama yang pernah berlaku dan penemuan awal mendapati mangsa dipercayai tergelincir ketika memancing kerana tiada unsur-unsur jenayah mahupun kecederaan fizikal dikesan.

Mangsa  meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat. - Bernama

30 April 2016

0 comments:

Post a Comment