May 26, 2016

Lelaki parah dihempap treler

Anggota bomba cuba mengalihkan treler berkenaan bagi mengeluarkan mangsa.

SELAMA - Seorang lelaki parah apabila paha kiri dan pinggangnya tersepit akibat dihempap treler pengangkut generator untuk binaan mini hydro seberat 37 tan dalam kejadian di Gunung Bintang Hijau, Rantau Panjang, semalam.

Ketika kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Mohd Ariff Mohd Yusoff Latif, 24, dikatakan mengiringi generator jana kuasa elektrik yang ditarik oleh sebuah treler itu.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, generator jana kuasa elektrik itu hendak dibawa menuju ke tapak projek mini hidro, keadaan curam menyebabkan secara tiba-tiba treler tersebut terbabas dan terbalik ke kiri.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa tergelincir dan tersepit antara kedudukan treler berkenaan mengakibatkannya cedera parah dari paras pinggang ke bawah,” katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan pekerja projek dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selama, mangsa berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian sebelum dibawa ke Hospital Selama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selama, Mohd Fauzi Razali berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba bertindak mengorek tanah pada bahagian tebing.

“Ia bertujuan untuk membuat ruang bagi membolehkan mangsa dikeluarkan.

“Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa kemudiannya dibawa turun ke kaki bukit dengan pacuan empat roda,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2016


Kelindan parah tersepit

Nor Raidah Awang
am@hmetro.com.my

Selama: Seorang kelindan lori parah akibat dihimpit kenderaan berat dinaikinya yang membawa muatan generator seberat 37 tan di kawasan pembinaan di Gunung Bintang, Rantau Panjang, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa Mohd Ariff Mohd Yusoff Latif, 24, berasal dari Pelabuhan Klang, Selangor tersepit antara treler dan tebing bukit.

Menurutnya, hasil siastan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa sedang dalam perjalanan menghantar generator berkenaan ke tapak projek mini hidro di kawasan terbabit.

"Kenderaan berat itu secara tiba-tiba terbabas dan terbalik ke kiri jalan bukit yang curam itu.

"Pada masa sama, mangsa berada di atas generator itu dan tergelincir serta tersepit antara treler dan tebing bukit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah parah paha kiri dan pinggan.

"Dengan bantuan pekerja tapak projek pembinaan berkenaan dan Bomba Selama mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Selama untuk rawatan," katanya.

myMetro 25 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment