May 11, 2016

Lelaki OKU tinggal di bangsal keropok

Keadaan bangsal keropok yang didiami Yasin dari pandangan hadapan. Gambar kecil: Yasin termenung di muka pintu bangsal keropok yang dijadikan sebagai rumahnya.

KUALA TERENGGANU - Seorang kakak kepada lelaki kurang upaya (OKU) yang tinggal di bangsal keropok milik arwah ibu mereka, mohon kerajaan membina sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), tidak jauh dari bangsal itu untuk adik lelakinya itu.

Mariam Salleh, 64, berkata, dia kesian kepada adiknya, Mohd Yasin Salleh, 58, yang tidak dapat menguruskan diri sendiri sejak Disember lalu selepas keadaannya semakin teruk ditambah sudah jadi pelupa.

Yasin yang kini mengalami lumpuh pada bahagian kanan badan, sebelum ini seorang yang aktif dan selalu bergaul dengan penduduk kampung, namun sejak akhir tahun lalu, dia kurang sihat sehinggalah sekarang.

“Makan minum semua saya kena jaga, kesian tengok dia, tinggal di dalam bangsal keropok arwah mak. Ini pun (bangsal) kami anak beranak, gotong-royong baiki supaya dia selesa.

“Kalau boleh nak bagi dia tinggal di rumah yang lebih baik, lagipun dia tak sihat, perlukan ruang yang bersih,” katanya ketika ditemui di perkarangan bangsal itu di Kampung Batu Enam, Simpang Empat, Chendering.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat dan Pengerusi Penyelaras Dun Batu Burok, Zamri Awang Hitam.

Bagaimanapun, menurut Mariam, dia bersyukur kerana adiknya itu telah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kali ini akan cuba memohon untuk mendapatkan sebuah rumah PPRT pula.

Zamri yang turut sama ketika itu berkata, dia akan cuba membantu niat Mariam yang mahu bantu abangnya.

“Kita kena tengok dulu macam mana, semua kena melalui proses dan kalau ada peruntukan nanti saya akan cuba (rumah PPRT) bantu.

“Nak bagi jawapan ‘dapat’ sekarang, memang saya tak berani nak kata, sebab bergantung kepada peruntukan dan diharap keluarga bersabar,” katanya.

Sinar Harian 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment