May 25, 2016

Lelah setiap kali aktif bermain

Royati menunjukkan keadaan Muhammad Adam yang tidak seperti kanak-kanak lain

Noor Azlida Alimin

RANTAU PANJANG - Seorang kanak-kanak tiga tahun di Kampung Kusar di sini, memiliki bibir dan jari kebiru-biruan sejak lahir.

Ibu, Royati Mohamad, 49, berkata, perubahan warna anggota badan anaknya, Muhammad Adam Akram Zaili berlaku disebabkan penyakit jantung berlubang dan injap tersumbat dialami.

Royati berkata, sepertimana kanak-kanak lain, Muhammad Adam sangat aktif bermain namun penyakitnya membatasi aktiviti hariannya kerana sering muntah dan lelah.

Anak bongsu daripada enam beradik itu katanya, pernah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur ketika berusia lima bulan.

“Alhamdulillah, dengan kos pembedahan sebanyak RM8,000 ia berjaya menyelamatkan nyawa anak saya buat sementara waktu.

“Namun sekali lagi, kami memerlukan RM30,000 agar dia dapat menjalani pembedahan kedua pada bulan November ini,” katanya.

Royati berkata, gaji suaminya sebagai penyelia pekerja am perlu dibahagikan untuk keperluan tiga anaknya yang masih bersekolah, termasuk perbelanjaan anak ketiganya, yang masih menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim.

Belas ihsan orang ramai katanya, diharap dapat menyelamatkan anak bongsunya daripada penyakit tersebut.

Sumbangan boleh disampaikan kepada Royati menerusi akaun Bank Islam bernombor 03081020141366.

Sinar Harian
24 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment