May 26, 2016

Lagi kejadian siakap mati


Yusof (kiri) menunjukkan siakap yang terpaksa dijual dengan harga murah.

Rohana Ismail

TUMPAT – Lagi kematian ikan siakap di Laguna Sri Tujoh berpunca daripada masalah air, yang menyebabkan tujuh penternak mengalami kerugian.

Kejadian kali keempat tahun ini disedari penternak terbabit kira-kira jam 2 pagi kelmarin apabila berlaku air pasang surut menyebabkan air di laguna itu surut.

Penternak, Yusof Che Mamat berkata, kematian ikan kerap berlaku di sangkar laguna itu berikutan masalah yang berpunca daripada air cetek dan kuala tertutup.

“Ia berpunca daripada masalah sama dan risiko kematian ikan ini akan berlaku bila-bila masa sahaja. Hampir semua penternak di sini terkena dengan kematian ikan secara tiba-tiba,” katanya.

Yusof berkata, kejadian kematian ikan siakap itu menyebabkan penternak kerugian kira-kira RM30,000.

Kejadian sama turut berlaku bulan lepas apabila Sinar Harian melaporkan seramai 10 penternak terjejas disebabkan ikan siakap yang diternak di dalam sangkar, mati akibat fenomena El Nino.

Kira-kira lima tan ikan siakap mati dengan kerugian dianggarkan lebih RM100,000.

Bagi Malik Ibrahim, 57, kejadian kali ketiga itu menyebabkan ikan siakap yang diternak, mati mengejut.

Menurutnya, ada yang sempat diselamatkan dan dijual kepada peraih dengan harga murah.

“Beginilah nasib kami, tahun ini sangat mencabar kerana kerap berlaku kematian ikan. Rugi besar kami, tetapi walau apa jua risiko, di sinilah periuk nasi kami,” katanya.

Menurut Malik, siakap yang mati itu adalah bekalan untuk dipasarkan pada Ramadan tidak lama lagi.

Sinar Harian
25 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment