May 23, 2016

Kongsi pondok dengan ayam

NAWI termenung mengenangkan nasib dirinya di rumahnya di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh.

Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hidupnya bersama seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) yang sakit mental sangat daif di dalam pondok usang yang turut dikongsi bersama lebih 20 ayam peliharaan di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Pondok kecil dibina berdekatan sungai itu turut dipenuhi pelbagai barang terbuang yang dicari di dalam tong sampah berdekatan kampungnya.

Biarpun pondok itu menunggu masa menyembah bumi kerana dipenuhi lubang dan bumbungnya bocor, ia ibarat syurga buat bapa tunggal, Nawi Salleh, 65, bersama anak keenam daripada tujuh beradik, Abdul Mutalib, 30.

Enam anaknya yang lain sudah berkeluarga dan tinggal di Kubang Kerian, Tanah Merah, Pasir Tumboh dan seorang di Melaka, juga hidup susah serta tidak dapat menghulurkan wang, namun mengambil berat dan sering bertanya khabar.

Nawi yang turut mengalami gastrik berkata, dia bersama anaknya tinggal di dalam pondok itu dan mengharapkan ihsan orang ramai itu sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pondok kecil berkenaan tidak mempunyai bekalan elektrik dan air itu semakin uzur serta hanya mempunyai satu tilam terbuang buat alas tidur mereka setiap malam.

“Kami menggunakan bekalan air sungai di belakang rumah untuk mandi, memasak dan minum. Walaupun air sungai tidak dirawat dan kotor, saya tiada pilihan apabila terpaksa menggunakannya untuk keperluan harian.

“Untuk memasak, saya menggunakan dapur kayu api di belakang rumah kerana tidak mampu membeli dapur gas,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Nawi yang kematian isterinya dua tahun lalu berkata, untuk meneruskan kehidupan, dia mencari barang terbuang sebelum dijual kepada pembeli yang datang ke pondoknya dengan harga 20 sen sekilogram.

Katanya, walaupun hanya dapat memungut lima hingga 20 kilogram (kg) sehari atau pendapatan RM100 sebulan, dia tidak pernah mengeluh kerana ia sumber rezeki utama bersama anak tersayang.

“Jika kesihatan mengizinkan, saya keluar menunggang motosikal jam 8 pagi untuk mencari barang terbuang di dalam tong sampah termasuk besi, plastik, kayu dan kertas.

“Saya meronda di kawasan tong sampah 20 kilometer sehari demi mencari sesuap nasi. Saya dah lakukan kerja ini lebih 13 tahun lalu dan tidak pernah malu kerana ia sumber rezeki.

“Selain itu, saya juga memperoleh bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) RM400 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, keluarga terbabit memerlukan bantuan pembinaan rumah baru memandangkan kediaman mereka uzur.

“Saya anggarkan mereka memerlukan RM10,000 untuk membina rumah, menyambung bekalan elektrik dan air kerana mereka tidak mampu.

“Harapan saya ada pihak yang sudi hulurkan sumbangan kepada mereka dan kami juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk mencuci kediaman mereka yang dipenuhi dengan barang terbuang,” katanya.

myMetro 23 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment