May 6, 2016

Kongsi duit beli beras, gula

Mohd Amirul Hakimi (kanan) bersama Mohd Azharudin menunggang motosikal dari Kulim ke Bagan Jermal semata-mata untuk menyampaikan sumbangan di Maahad Tahfiz Fathul Ulum, semalam.

BUTTERWORTH - "Kami bantu apa yang termampu." Luah dua pemuda yang sanggup menunggang motosikal dari Taman Kenari, Kulim untuk menyumbang bekalan makanan di Maahad Tahfiz Fathul Ulum di Bagan Jermal, semalam.

Mohd Amirul Hakimi Mohd Anuar, 21, berkata, dia dan rakannya, Mohd Azharudin Mohd Shahabudin, 21, mengambil keputusan itu selepas mengetahui masalah di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan terputus bekalan makanan seperti mana tersebar di media sosial.

“Bila dapat tahu saja tentang berita ini, saya tak fikir panjang, terus ajak kawan datang ke sini, sekurangnya dapat sumbangkan sesuatu pun jadilah.

“Saya kongsi duit bersama rakan, beli beras 20 kilogram dan enam bungkus gula, kami bawa ke sini dengan menunggang motosikal saja,” katanya.

Menurutnya, perjalanan mereka untuk datang ke sini menempuhi pelbagai dugaan.

“Tadi masa nak datang kami hampir cedera setelah terlibat dengan kemalangan, nasib baik barang yang kami bawa ini tak terjatuh.

“Pada kami biarpun sedikit, hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami apabila selamat sampai di sini untuk menyampaikan sumbangan yang tidak seberapa ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azharudin berkata, memang perjalanan agak jauh, tambahan pula dengan cuaca yang panas, namun bagi mereka itu bukan halangan untuk menghulurkan bantuan.

“Kami berdua bukan dari keluarga yang berada, jadi kami faham bila ada yang mengalami keadaan sebegini, kami nak sangat membantu mereka,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment