May 21, 2016

Ketua Wanita Umno Bagan Datoh meninggal dunia

Aminah Abdul Manaf. - Foto ihsan pembaca Sinar Harian

MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID

BAGAN DATOH - Ketua Wanita Umno Bagan Datoh, Aminah Abdul Manaf, 52, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), petang tadi.

Allahyarhamah yang berasal dari Tanah Lalang, Bagan Datoh menghembus nafas terakhirnya kira-kira jam 6 petang tadi selepas menjalani pembedahan di IJN Sabtu lalu.

Ketua Pemuda Umno Bagan Datoh, Dr. Nik Mohammad Azli Nik Ariffin ketika dihubungi wartawan Sinar Harian berkata, kehilangan Allahyarhamah begitu dirasai semua ahli Umno Bagan Datoh dan penduduk.

"Arwah adalah orang kuat di belakang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan banyak berjasa kepada Umno, wanita bahagian dan masyarakat setempat.

"Beliau juga seorang yang jujur, amanah dan ikhlas dalam setiap kerja yang dilakukannya," katanya.

Tambahnya, beliau mengenali Allahyarhamah sejak 2008 dan beliau sudah dianggap sebagai kakak yang sering menasihatinya.

"Hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahui bagaimana sedihnya kami dengan pemergian arwah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bagan Datoh, Datuk Khairuddin Tarmizi ketika dihubungi berkata, jenazah dijangka akan dibawa pulang ke rumah Allahyarhamah di Kampung Tanah Lalang, malam ini.

"Buat masa ini anggota keluarga mangsa sedang menguruskan untuk membawa jenazah pulang bagi urusan pengkebumian dan dijangka akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanah Lalang," katanya.

Allahyarhamah yang meninggalkan seorang anak angkat dilantik sebagai Ketua Wanita Umno Bagan Datoh pada 2013.

Beliau juga merupakan Penyelia Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kawasan Parlimen Bagan Datoh.

Sinar Harian 15 Mei 2016


Jenazah Ketua Wanita Bagan Datoh selamat dikebumikan

BAGAN DATOH - Jenazah Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datoh Aminah Abdul Manaf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Lalang, Sungai Dulang di sini, jam 10 pagi tadi.

Allahyarham, 52, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 6 petang semalam setelah menjalani rawatan di IJN sejak bulan lepas.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh, Datuk Khairuddin Termizi berkata jenazah dibawa pulang anggota keluarganya ke kediaman mereka di Kampung Tanah Lalang di sini malam tadi.

"Semestinya kami sedih dengan pemergiannya kerana Allahyarham adalah orang kuat di belakang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan banyak berjasa kepada Umno bahagian serta masyarakat setempat," katanya.

Allahyarham, yang belum berkahwin, dilantik Ketua Wanita Umno bahagian itu pada 2013 dan merupakan Penyelia Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kawasan Parlimen Bagan Datoh.

Menyertai politik pada awal 1990-an, Allahyarham pernah menjadi Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Bahagian Bagan Datoh pada 2000. - Bernama

16 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment