May 21, 2016

Ketabahan guru taska teruji lagi

Jamaliah bersama Fatin Nur Afiqah (berbaring) dan Muhammad Aqmal Hadif.

AZLINA OTHMAN

PASIR GUDANG – Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak yang sihat dan aktif tiba-tiba menerima berita berkemungkinan menghidap kanser darah.

Bagaimanapun, Jamaliah Mohamad, 49, yang tinggal di Taman Cendana, di sini, terus berdoa agar anaknya, Muhammad Aqmal Hadif Hasnol, 8, tidak menghidap penyakit serius.

Menurut Jamaliah, ketika anak bongsu daripada lima beradik itu berusia empat tahun, dia pernah dimasukkan ke hospital selama hampir tiga bulan kerana sel darah kuning kurang.

“Selepas itu, dia perlu mendapatkan rawatan susulan tapi saya tidak membawanya ke hospital kerana menyangka keadaannya tak serius selain mengalami kesukaran berulang-alik ke hospital.

“Namun, penghujung bulan lepas, dia tiba-tiba terjatuh ketika sedang bermain. Dia hanya mengadu sakit sebelah malam dan keesokannya terus demam. Saya membawanya ke klinik berhampiran tapi demam tak kebah dan berlarutan sehingga lebih seminggu.

“Kami sangka dia terkena denggi, rupanya bukan. Dia kemudian dimasukkan ke hospital selama dua minggu dan saya sedang menunggu keputusan rasmi tentang keadaan sebenar dan saya amat berharap tiada yang serius berlaku kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang bekerja sebagai guru taska dengan gaji sekitar RM450 sebulan memberitahu, dalam masa yang sama dia perlu menjaga anak keduanya, Fatin Nur Afiqah Ahmad Taufiq, 24, yang menghidap penyakit cerebral palsy sejak dilahirkan dan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Sepatutnya Fatin Nur Afiqah perlu menjalani terapi, namun segala-galanya memerlukan duit dan kini dia hanya terbaring. Dia hanya boleh duduk atau berjalan dengan dibantu orang lain. Dia juga tidak boleh bercakap.

“Mujur saya dikurniakan majikan yang benar-benar memahami dan memberi keizinan untuk saya pulang pada waktu tengah hari untuk menguruskan Fatin Nur Afiqah seketika.

Lebih merisaukan Jamaliah, suaminya, Hasnol Hashim, 50, kini sudah hampir dua bulan menganggur kerana kontrak kerjanya sebagai pengawal keselamatan sudah ditamatkan.

“Suami saya berusaha mencari pekerjaan lain, namun gagal atas faktor usianya yang sudah lanjut dan ada kala dia juga tidak sihat.

“Saya juga bimbang kerana tunggakan sewa rumah kini mencecah RM7,000 dan tunggakan bil elektrik berjumlah RM500," katanya.

Sinar Harian 17 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment