May 4, 2016

Kesan tikaman bongkar punca kematian

Polis melakukan siasatan di tempat kejadian seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman. FOTO Ahmad Ismail

Ahmad Ismail

Segamat: Lelaki berusia 40-an ditemui mati di tepi jalan di Kilometer 11, Jalan Jementah-Segamat di sini, awal pagi tadi dengan kesan tikaman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Deputi Superintendan Yusuf Unis berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Zainuddin Md Ali.

Katanya, polis menerima laporan daripada orang awam mengenai kemalangan di kawasan itu pada 1.30 pagi.

"Pada mulanya mangsa disangka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, namun pemeriksaan lanjut menemui kesan tikaman.

“Beberapa bahagian badannya turut luka termasuk di kepala,” katanya.

Menurutnya, pemandu dan empat penumpang Perodua Myvi berusia 20-an termasuk dua wanita warganegara Thailand yang berada di tempat kejadian dipercayai terbabit dalam kemalangan itu ditahan.

Yusuf berkata, terdapat kesan kemik pada bahagian pintu dan beberapa bahagian lain Perodua Myvi dinaiki lima yang ditahan itu, selain kesan kemik Proton Wira milik mangsa.

Katanya, saksi kejadian diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di 07-9324222 bagi membantu siasatan.

myMetro 29 April 2016


Terkilan tak sempat siapkan kereta adik

MOHD ZAINUDDIN

SEGAMAT - “Saya terkilan kerana tak sempat siapkan kerja mengecat kereta adik. Kali terakhir saya jumpa dengannya, dia kelihatan gembira dan tiada sebarang perubahan pada dirinya."

Itu luahan abang kepada kakitangan Pejabat Hutan Tangkak, Mohd Zainuddin Md Ali, 39, yang maut dipercayai dibelasah selepas keretanya terbabit dalam kemalangan kecil di Jementah awal pagi, Jumaat lalu.

Mohd Hishamuddin, 41, berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya ketika arwah menghantar kereta ke bengkelnya di Tangkak untuk dibaiki dan dicat baharu pada minggu lalu.

“Adik saya dah hampir 20 tahun bertugas dengan Jabatan Hutan dan meninggalkan seorang balu bersama dua anak lelaki berusia 6 dan 16 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian malang menimpa adiknya kira-kira jam 9.30 pagi pada hari kejadian selepas dimaklumkan isterinya sebelum segera ke Hospital Daerah Segamat (HDS).

Katanya, kejadian dipercayai disebabkan lampu isyarat di kawasan terbabit bertukar merah menyebabkan kereta di hadapan berhenti mengejut, sehingga adiknya terlanggar kereta tersebut sebelum berlaku pertengkaran.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan anggap sebagai takdir, namun saya harap suspek  dalam kejadian ini menerima hukuman setimpal.

“Yang penting sekarang ini, nasib dan kebajikan anak serta isteri arwah terbela,” katanya.

Mohd Hishamuddin berkata, jenazah Allahyarham Mohd Zainuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangkak.

Sinar Harian kelmarin melaporkan, mangsa maut selepas dipercayai ditikam dan dibelasah tiga lelaki di Kilometer 69 Jalan Muar-Segamat selepas kereta Proton Wira yang dipandunya dilanggar kereta Perodua MyVi yang dinaiki oleh suspek.

Wartawan Sinar Harian
2 Mei 2016





0 comments:

Post a Comment