May 23, 2016

Kereta terputus dua, semua tercampak keluar

Keadaan kereta yang terputus dua.

Mohd Taha Yaacob

JERTIH - Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah manakala empat rakannya cedera parah selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri daripada diekori kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Kampung Apal dekat Jabi, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu bermula apabila dua anggota polis dari cawangan MPV yang melakukan rondaan ternampak sebuah kereta  dinaiki lima suspek  dalam keadaan mencurigakan di belakang Pasar Renek, di sini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, anggota polis terbabit mengarahkan pemandu memberhentikan kereta namun suspek bertindak memecut laju menghala ke arah Jertih.

Menurutnya,  anggota polis berkenaan terus mengekori suspek tetapi  sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki  hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum   melanggar sebatang  pokok.

Selepas melanggar pokok tersebut kereta  itu kemudiannya  berpusing ke dalam semak di kanan jalan menghala ke arah Jertih.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta Proton Wira itu terputus dua (di bahagian enjin) dan kesemua mangsa tercampak keluar.

“Penumpang belakang sebelah kiri dikenali sebagai Mamat Gedut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah (hancur) kepala manakala pemandu berusia 21 tahun   dan penumpang hadapan  kritikal dan dua lagi juga parah,” katanya.

Mohd Zamri berkata, polis  turut menemui beberapa peralatan di dalam kereta itu dipercayai digunakan untuk penagihan dadah.

Sinar Harian
22 Mei 2016


1 mati, 4 parah lari daripada polis

INILAH bahagian enjin kereta Proton Wira yang terputus dua selepas terbabas dan melanggar pokok ketika melarikan diri daripada polis di Kilometer 102, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Apal, Jertih semalam.

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH

JERTIH – Seorang lelaki maut manakala empat rakannya cedera parah selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki merempuh sebatang pokok ketika dikejar sebuah kereta pe­ronda polis di Kilometer 102, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Apal dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, Mohd. Sabri Abd. Ghani, 30, dari Kampung Tua­lang Manir, Kuala Terengganu dekat sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Pemandu kereta, Muhamad Khairul Ibrahim, 21 dan tiga penumpang lain iaitu Mohd. Hafizul Mahadi, 33; Wan Khairul Hafizi Wan Shamsul Bahari, 24, serta Faisal Yusuf, 25, pula mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kereta Proton Wira yang dinaiki kesemua mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan belakang Pasar Renek, Jabi dekat sini pada pukul 3.10 pagi.

“Kereta yang dipandu Muhamad Khairul telah memecut laju meninggalkan lokasi terbabit selepas seorang anggota polis yang sedang meronda dengan kereta peronda mengenalkan diri bagi tujuan melakukan pemeriksaan.

Kosmo 23 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment