May 27, 2016

Kembar hilang teman rapat


Siti Rohana bersama empat anaknya melihat gambar kenangan Allahyarham Mohd Amirul Rashid.

AZIZAN INCHE HARUN

JOHOR BAHRU - Pemergian Mohd Amirul Rashid Mohd Mokhtar, 14, yang lemas selepas tergelincir dalam longkang di Jalan Setia Indah 4, Taman Setia Indah, di sini, ketika pulang dari sekolah, kira-kira jam 7 malam kelmarin, disifatkan kehilangan besar buat kembarnya.

Mohd Amirul Amin berkata, dia bersama adik kembarnya itu terlalu rapat dan tidak pernah berpisah, malah akan sentiasa melakukan aktiviti termasuk berjalan kaki ke sekolah bersama-sama.

Menurutnya, ketika berjalan pulang dari sekolah kelmarin, dia telah melarang adiknya itu supaya tidak menyeberang longkang besar tersebut kerana keadaan arus deras akibat hujan lebat, namun arwah tetap berdegil.

“Saya dah larang dia, tapi dia tetap mahu menyeberang untuk cepat sampai di rumah guna jalan pintas.

“Nasib dia tak baik kerana tergelincir dan dibawa arus deras. Saya dan seorang lagi rakan cuba kejar untuk bantu selamatkan dia tapi dia terus terkapai-kapai dibawa arus.

“Saya dah kehilangan teman paling rapat yang selalu melakukan aktiviti bersama termasuk mandi, makan, bermain, ke sekolah dan bergurau bersama,” katanya kepada Sinar Harian di rumah keluarganya di Taman Setia Indah, di sini, semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Rohana Sapuan, 48, berkata, anak keempatnya itu disedari lebih banyak mendiamkan diri sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, kedua-duanya agak pelik kerana tidak mahu ke sekolah menaiki bas, sebaliknya lebih selesa berjalan kaki berdua berulang-alik ke sekolah, terletak kira-kira dua kilometer dari rumah.

“Sejak memulakan sesi persekolahan Januari lalu, mereka berdua hanya tiga hari ke sekolah naik bas dan selepas itu bersembunyi setiap kali bas datang dan ambil keputusan berulang-alik ke sekolah berjalan kaki.

“Arwah lebih banyak mendiamkan diri sejak seminggu lalu dan setiap kali disuruh sesuatu, dia akan menunjukkan muka masam, tidak seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangkar Tebrau, Ronie Robert berkata, lima anggota bomba segera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kejadian itu, kira-kira  jam 7.15 malam kelmarin.

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 7.39 malam, mangsa telah ditemui orang awam dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

Sinar Harian 27 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment