May 23, 2016

Kelindan lori maut kemalangan

MANGSA maut selepas tercampak keluar dari lori. FOTO Rosli Ilham

Rosli Ilham

Dungun: Kelindan lori maut selepas lori dinaikinya terbabit kemalangan dengan kereta sebelum terbalik di Kilometer 91, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Air Hitam, petang tadi.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, Samana Othman, 47, meninggal dunia selepas tercampak keluar dari lori yang dipandu rakannya.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Paka ke Dungun dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, kereta terbabit dipercayai melanggar tayar belakang lori yang dinaiki mangsa yang menyebabkan kenderaan berat itu terbalik.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia serta merta di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.

myMetro 23 Mei 2016


Kelindan lori maut dirempuh Honda Jazz


Oleh EZZUAN AHMAD

DUNGUN 23 Mei - Seorang kelindan lori maut selepas lori dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz di Kilometer 91.7, Jalan Kuala Terengganu-Kemaman berhampiran Paka dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, Samana Othman, 49, yang menetap di Kampung Nyior, Paka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

Seorang saksi, Anuar Musa, 50, berkata, kejadian berlaku selepas kereta Honda Jazz terbabit dari arah Dungun tiba-tiba terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan lori membawa barangan pertukangan dinaiki mangsa.

"Pemandu lori itu cuba membrek kecemasan namun tidak sempat mengelak sebelum kenderaan tersebut terbalik sebanyak tiga kali dan mangsa pula tercampak keluar sejauh beberapa meter," katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini. - K! ONLINE

Kosmo 23 Mei 2016


Terkejut lihat jasad kaku adik

Mayat mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan ditutup sebelum dibawa ke Hospital Dungun

DUNGUN - Seorang kelindan lori, Samana Othman, 49, maut apabila tayar belakang kenderaan dinaiki dirempuh Honda Jazz menyebabkannya tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian dalam satu nahas jalan raya di kilometer 91 jalan Kuantan-Kuala Terengganu, Air Hitam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa bersama pemandu, Shah Rizan Hassan, 36, dalam perjalanan dari Paka menuju ke Kuala Berang untuk menghantar barang.

Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Honda Jazz dipandu Mohd Hasif Anuar, 18, yang datang dari arah Kuala Terengganu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian tayar belakang lori.

Rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan berpusing tiga kali dan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar.

Mangsa yang berasal dari Kampung Nyior, Paka, mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, abang mangsa, Zakaria Othman, 61, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan mengatakan adiknya terlibat dalam kemalangan dan bergegas ke tempat kejadian.

“Saya tak tahu dia sudah meninggal, hanya tahu dia kemalangan. Bila sampai tempat kejadian, saya terkejut jasadnya sudah terbujur kaku.

“Kali terakhir kami bertemu beberapa jam sebelum kejadian ketika dia pulang rumah waktu tengah hari," katanya.

Menurutnya, Allahyarham masih bujang dan tinggal berhampiran rumahnya.

“Saya tak sempat tegur dia sebab tak mahu ganggu dia balik rehat. Tak sangka ini jadi, dia pun tak tunjuk apa-apa perubahan,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
24 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment