May 11, 2016

Keletah manja bersulam duka


ZURRINAH menyuapkan nasi kepada Muhamad Syukor.

Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usianya bakal menginjak 20 tahun pada November ini, tetapi masih memakai lampin pakai buang dan diuruskan seperti kanak-kanak kecil.

Penderitaan itu ditanggung Muhamad Syukor Khalid akibat menghidap penyakit lebihan cecair di kepala (hydrocephalus) sejak dilahirkan yang menjadikan kepalanya besar berbanding saiz normal.

Muhamad Syukor juga pernah berada dalam tempoh kritikal ketika usianya kurang 10 tahun selain menjalani tujuh pembedahan untuk memasang pam dan tiub khas di dalam kepala hingga perut untuk menyalurkan lebihan cecair daripada kepalanya.

Ibunya, Zurrinah Saharun, 57, berkata, pembedahan itu dilakukan bagi mengelakkan kepala Muhamad Syukor daripada terus membesar jika lebihan cecair berkenaan tidak dikeluarkan.

Katanya, dia dan suami Khalid Noordin, 62, sanggup melakukan apa saja bagi memastikan anaknya itu mendapatkan rawatan terbaik, malah pernah berhutang kad kredit RM6,000 untuk pembayaran pembedahan kali keempat anaknya pada 1996.

“Muhamad Syukor dikesan menghidap penyakit ini pada usia lima bulan dalam kandungan. Dia bukan saja dilahirkan dengan saiz kepala yang besar, tetapi turut tidak mempunyai telinga kanan dan bisu.

“Tumbesaran kaki dan tangannya juga tidak normal. Kekurangan itu menyebabkan dia (Muhamad Syukor) hanya boleh duduk ketika usianya lapan tahun dan bergerak di dalam rumah secara mengengsot,” katanya ketika ditemui di rumahnya di PPR Seri Alam, Sungai Besi, di sini, semalam.

Ibu kepada enam anak itu berkata, walaupun Muhamad Syukor OKU, tetapi keletah manja dan sifat periangnya menjadi penghibur buat mereka sekeluarga.

“Wajah Muhamad Syukor yang sentiasa tersenyum umpama terapi kepada saya yang mampu menghilangkan rasa penat selepas berniaga nasi lemak.

“Saya tidak pernah merasakan Muhamad Syukor ini sebagai beban, tetapi menganggap dia satu anugerah paling berharga daripada Allah SWT. Saya percaya dengan ketentuan takdir dan yakin ada hikmah yang Allah hendak beri,” katanya.

Katanya, kelahiran Muhamad Syukor juga memberi kekuatannya untuk menjalani kehidupan dengan lebih tabah termasuk mengusahakan perniagaan nasi lemak berhampiran dengan kediamannya.

“Perniagaan baru saya mulakan semula tiga tahun lalu selepas berhenti ketika kelahiran Muhamad Syukor untuk memberi sepenuh perhatian kepadanya.

“Desakan ekonomi mendorong saya berniaga semula selepas pendapatan suami sebagai pemandu teksi terjejas akibat penyakit kencing manis dihidapinya bagi menampung keperluan keluarga dan Muhamad Syukor,” katanya.

myMetro 11 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment