May 5, 2016

Kecil-kecil tunjuk samseng...

IBU mangsa menunjukkan keadaan tangan anaknya yang cedera didakwa akibat dibuli. FOTO Amran Hamid

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Pokok Sena: Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini, retak siku kanannya selepas mendakwa dibuli dua rakan sekelasnya Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa, M Kavi Varman, 14, mendakwa mereka bertindak sedemikian selepas tidak berpuas hati dengannya kerana pernah melaporkan kepada guru suspek ponteng dan tidak masuk ke makmal sains dalam kejadian dua bulan lalu menyebabkan mereka dikenakan hukuman rotan.

Menurutnya, sejak itu, dia sering menjadi sasaran mereka apabila dibaling bekas pensil dan kerusi sehingga pernah mengalami cedera di kaki kanan.

“Sepanjang tempoh itu sebanyak empat kali saya menjadi mangsa buli mereka dan terbaru Isnin lalu apabila seorang daripadanya menendang belakang saya sehingga terjatuh dan tangan kanan terkena bucu meja.

“Ketika itu tangan kanan saya berasa sakit dan tidak boleh bergerak sebelum dia (suspek) terus memulas tangan itu menyebabkan saya menjerit kesakitan sebelum meronta dan melarikan diri ke bilik guru meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Ladang Jabi, Batu 11, di sini, tadi.

Akibat kejadian itu mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang dan doktor mengesahkan siku kanannya retak sebelum keluarganya tampil membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan menahan seorang pelajar berusia 14 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis Khamis lalu.

myMetro 1 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment