May 5, 2016

Kapal tenggelam 100 tahun muncul di Sungai Pahang

Kapal tenggelam 100 tahun muncul di Sungai Pahang. – Foto Sinar Harian

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN

PEKAN - Penemuan bangkai kapal didakwa kapal dagang milik British yang timbul di Sungai  Pahang dekat Kampung Tanjung di sini  sejak sebulan lalu menarik perhatian  penduduk kampung.

Bangkai kapal itu timbul  selepas paras air di sungai itu  semakin cetek susulan cuaca panas berterusan kesan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.

Seorang penduduk, Ahmad Abdullah, 84,berkata,  Sungai Pahang  pernah menjadi laluan kapal dagang British sekitar awal tahun 1800-an membawa hasil dagang seperti beras, garam dan sebagainya ke Semantan, Temerloh dan Kuala Lipis.

Menurutnya, kisah kewujudan kapal itu pernah diceritakan arwah ayahnya, Abdullah Bidin, ketika dia masih kecil dan ketika itu kapal tersebut dikenali dengan panggilan kapal belangkas.

Katanya, bangkai  kapal yang timbul itu mungkin salah satu yang pernah karam sekitar tahun 1811 atau 1815.

“Kapal itu panjangnya kira-kira 100 meter dan bergerak menggunakan enjin kuasa wap,” katanya.

"Kebanyakan  penduduk mengetahui  kisah kapal dagang yang karam di Sungai Pahang namun tidak pernah melihat  sendiri keadaannya sehinggalah selepas  sungai ini surut,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad berkata, menurut cerita arwah ayahnya, orang ramai terutama budak-budak dilarang mandi atau menghampiri tapak kapal itu karam kerana paras air yang dalam berbanding bahagian lain di sepanjang sungai terbabit.

"Masa kecil dulu kami pun tidak dibenarkan menghampiri kawasan ini kerana airnya sangat dalam selain ditakutkan kononnya kawasan itu  ‘keras’.

"Ketika  musim kemarau sebelum ini pernah  ternampak tiang kapal itu timbul namun kali ini bangkai kapal itu semakin timbul dan nampak lebih jelas,”katanya.

Sinar Harian 4 Mei 2016


Mungkin bangkai kapal SS Amherst



KAKITANGAN Jabatan Warisan Negara melakukan kajian ke atas bangkai kapal. FOTO Luqman Hakim Zubir

Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Pekan: Bangkai kapal ditemui di Sungai Pahang berkemungkinan besar SS Amherst, kapal kargo milik Singapura yang karam di sungai itu pada 1901.

Ia berdasarkan maklumat inkues bagi menyiasat insiden kapal karam itu di Mahkamah Maritim di Singapura pada 17 Disember 1901.

Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Mohd Shukri Mohd Isa bagaimanapun berkata, adalah terlalu awal untuk membuat keputusan berhubung penemuan bangkai kapal itu.

"Kita masih menjalankan siasatan terperinci di lokasi penemuan termasuk mengukur saiz bangkai kapal dan membuat perbandingan dengan rekod kapal karam pada tahun berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat lokasi bangkai kapal berkenaan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Tanjung, Paloh Hinai di sini, hari ini.

myMetro 5 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment