May 21, 2016

Kanak-kanak Rohingya penuh sesak di maahad

KEADAAN kanak-kanak etnik Rohingya di Ma’had Darul Hijrah dan Tahfizul Quran Al-Karim.

Kuala Lumpur: Penuh sesak dan tidak terurus. Itu situasi yang boleh digambarkan apabila melangkah masuk ke Ma’had Darul Hijrah dan Tahfizul Quran Al-Karim di Jalan Ipoh, di sini.

Keadaan itu menyebabkan 75 kanak-kanak etnik Rohingya berusia lima hingga 13 tahun yang mendapatkan pendidikan di maahad itu berasa tidak selesa, ditambah lagi dengan kekurangan kemudahan asas.

Menurut Mudir Amnya, Abdullah Ahmad, maahad ditubuhkan dua tahun lalu itu mengharapkan derma dan sumbangan orang ramai untuk menjalankan urusan pengurusan serta pentadbiran agama.

“Walaupun tidak dapat didaftarkan ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas alasan dokumen PBB (UNHCR) tidak diterima untuk pendaftar sekolah (madrasah Muiin Al-Islam), namun, saya bersama dua lagi pengasas berusaha memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak yatim dan fakir miskin yang membabitkan pelarian Rohingya Islam.

“Kami mahu setiap kanak-kanak terutama etnik Rohingya yang datang ke Malaysia tidak tercicir daripada mendapat ilmu dan pendidikan Islam,” katanya dan juga pelarian Rohingya yang sudah lima tahun berada di negara ini.

Katanya, pihak maahad memerlukan RM19,000 sebulan bagi menampung keperluan makanan bulanan, sewa bulanan madrasah, bil elektrik, bil air, bayaran perkhidmatan gaji ustaz, guru tahfiz, tukang masak, alat tulis, peralatan sukan dan pakaian.

“Alhamdullilah kami bersyukur kepada Allah SWT dan ucapan penghargaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi sokongan kepada mangsa pelarian Rohingya Islam tinggal sementara di negara ini.

“Jika ada sumbangan, sudah pasti kami dapat memberi pendidikan Islam kepada kanak-kanak Rohingya secara teratur selain penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

“Semua ini bertujuan supaya mereka boleh mendapat pekerjaan lebih baik berbanding ibu bapa mereka di sini (Malaysia),” katanya.

Bagi urusan derma, boleh hubungi Abdullah di talian 03-62410983, 017-6380260 atau 018-3846562 untuk maklumat lanjut.

myMetro 18 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment