May 25, 2016

‘Kami tolong jaga anak syurga’

 
Tidak mengerti apa-apa, bagaimanapun anak-anak ini sentiasa menghormati orang sekeliling

KOTA BHARU – Pusat Asuhan Harian Kanak-kanak Sepastik (Pusakas) menyediakan pendidikan percuma untuk golongan OKU sejak 35 tahun lalu.

Pusakas yang beroperasi sejak 1981, kini mendidik lebih 107 pelajar istimewa terdiri daripada cerebral palsy, masalah pembelajaran, sindrom down dan autisme berumur antara 5 hingga 30 tahun, dengan dikawal selia empat guru.

Bagi guru yang berkhidmat di pusat terbabit, walaupun sesukar mana mengawal selia anak istimewa ini, mereka tetap tabah tanpa rungutan dalam menjalankan tugas tersebut.

Malah, mereka turut berbangga kerana berkesempatan untuk menjaga anak-anak syurga.

Anak istimewa penyejuk hati

Pengetua, Samsuriati Salleh yang lebih 30 tahun mendidik OKU, menganggap anak istimewa ini sebagai penyejuk hati apabila berhadapan dengan pelbagai masalah.

Beliau yang merupakan orang kuat di sebalik jatuh bangun Pusakas sejak awal penubuhan berkata, tidak mustahil anak spastik ini mampu dibentuk menjadi seperti individu normal, jika diberi didikan sebaiknya.

Katanya, golongan itu tidak boleh disisihkan, malah perlu dibantu dan diberi perhatian kerana mereka sangat istimewa di sisi ALLAH SWT.

“Memang betul anak-anak ini tidak boleh beri pulangan apa-apa jika melabur banyak mana pun, tapi mereka boleh berdoa untuk ibu bapa, cikgu dan orang yang pernah bantu mereka. Mereka tidak bersalah kerana anak-anak ini adalah ahli syurga. kita cuma tolong jaga mereka di dunia ini.

"Bila dengan mereka, saya tidak rasa susah langsung dan kuncinya adalah sabar. Pada awal mungkin tak biasa. Sukar untuk kita ramal perangai mereka, ada yang degil, manja dan susah nak didik, tetapi bila dah kenal mereka, benda itu bukan masalah besar buat kita,” katanya.

Minda jadi lebih positif

Bagi Samsuriati, berdamping dengan anak istimewa di Pusakas lima hari seminggu, dianggap sebagai terapi minda ke arah lebih positif.

“Kita tak boleh anggap anak-anak ini membebankan kerana mereka beri kita aura positif. Bila kita datang dari rumah dengan banyak masalah, tetapi sebaik sahaja kaki melangkah di Pusakas, semua itu hilang.

“Bila tengok wajah anak istimewa, hati kita jadi sejuk. Mereka seperti ‘malaikat kecil’ untuk warga pendidik di sini. Semua manis sahaja walaupun adakala terpaksa berkejaran dengan mereka. Kata orang, tak kenal maka tak cinta,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun anak-anak ini dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan, tetapi mereka mampu berdikari jika ibu bapa memberi rawatan dan pendedahan awal dengan menghantar ke pusat asuhan khas.

“Tugas kita mendidik apa sahaja kerenah pelajar OKU ini. Kita kena pandai kawal kerana mereka sangat beremosi, jika tidak kena gaya, memang agak kalut,” katanya.

Kata Samsuriati, penerimaan masyarakat terhadap anak istimewa ini cukup berbeza berbanding 30 tahun lalu apabila mereka sangat terbuka, malah ibu bapa tidak malu menghantar anak ke pusat asuhan khas.

“Memang mereka ada kekurangan seperti masalah pergerakan dan sukar belajar, tapi kita layan mereka seperti anak normal, sentiasa sabar mendidik bagi menghasilkan individu baik. Dari segi fizikal mereka tetap sama, tetapi mungkin cara mereka akan berubah jika diberi pemulihan lebih awal,” katanya.

Survival Pusakas agak sukar

Pusakas tidak ditanggung kerajaan sepenuhnya kerana berdiri di atas Pertubuhan Sukarela Kebajikan dan diuruskan NGO, menyebabkan pusat tersebut berdepan kesukaran sejak akhir-akhir ini.

Sejak lebih 30 tahun lalu, Pusakas beroperasi hasil peruntukan geran kerajaan, sumbangan syarikat korporat dan sebagainya.

Menurut Samsuriati, perjalanan pusat tersebut agak memeritkan tahun ini kerana geran (peruntukan) diberikan kerajaan semakin kurang.

“Sudahlah dana semakin kurang, kondisi kemudahan juga teruk seperti terpaksa guna bas berusia 30 tahun untuk ambil pelajar dari rumah ke Pusakas. Keadaan bas ini sudah teruk dan boleh membahayakan keselamatan.

“Kita tiada dana tambahan memandangkan pusat ini tidak pernah kutip yuran persekolahan, semua percuma. Disebabkan kesempitan ini, guru di sini terpaksa dahulukan duit poket masing-masing untuk kegunaan semasa. Ada juga kena tebalkan muka minta dana bila ada yang sudi beri, walaupun dalam amaun yang kecil, sudah dikira baik,” katanya.

Samsuriati berkata, kebanyakan pekerja di pusat tersebut juga merupakan bekas pelajar yang dapat melakukan kerja dengan baik.

"Kita sebagai guru kena letak keyakinan. Bagi mendedahkan Pusakas kepada komuniti, kita berusaha libatkan pelajar dalam sukan paralimpik supaya mereka lebih aktif. Sebelum ini kita dah lahirkan atlet paralimpik peringkat kebangsaan,” katanya.

Sinar Harian
24 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment