May 13, 2016

Jumpa ular sawa beku

Enam anak ular tedung yang ditangkap JPAM Kinta di pusat tuisyen Taman Wah Keong, semalam

IPOH – Seekor ular sawa ditemui beku dipercayai terperangkap dalam tempat penyimpanan sejuk beku di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kinta, Khairol Mohd Noor berkata, ular sepanjang 1.5 meter itu ditemui oleh seorang pekerja lelaki pasar raya berkenaan.

Menurutnya, ular terbabit dipercayai terperangkap dalam tempat itu semalaman sebelum ditemui mati.

“Kita menerima panggilan dan mendapati ular berkenaan mati di tepi palet kayu dan pihak kita mengeluarkan dan menanam bangkai ular berkenaan,” katanya.

Sementara itu, di Taman Wah Keong, seorang guru tuisyen bersama dua anaknya nyaris dipatuk apabila menemui enam anak ular tedung di dalam stor penyimpanan buku.

Khairol berkata, JPAM dimaklumkan bahawa pemilik pusat berkenaan menemui seekor ular berwarna hitam dalam stor berkenaan.

“Apabila menangkap ular berkenaan, kita turut menemui seekor lagi dalam perabot. Susulan itu, semua anggota bertindak menyelongkar bilik berkenaan dan menangkap keseluruhan ular berjumlah enam ekor.

“Berdasarkan pemerhatian, ular berkenaan dipercayai seminggu menetas dalam bilik itu dan ketika kejadian, tiada murid,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menjaga kebersihan di kawasan kediaman bagi memastikan tiada tikus mahupun katak sehingga mengundang kehadiran reptilia itu.

“Kebersihan perlu dititik beratkan selain mengambil inisiatif untuk menutup lubang tandas serta ruang bawah pintu yang boleh dimasuki ular tanpa disedari terutama pada waktu malam,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
12 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment