May 13, 2016

JKM cari waris bayi perempuan bernama Dewi

JKM Johor Bahru kini sedang mencari ibu atau waris kepada bayi perempuan berumur 7 bulan diberi nama Dewi.

Norshikin Mohd Salleh

JOHOR BAHRU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kepada seorang bayi perempuan berumur 7 bulan yang masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, akibat masalah paru-paru sejak dilahirkan.

Pegawai JKM Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, bayi terbabit yang dilahirkan pramatang kini dirawat di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan.

Menurutnya, bayi yang diberi nama Dewi dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan itu juga masih belum didaftarkan kelahiran.

“Ibu kandung Dewi berumur 22 tahun dilihat sekali sahaja melawatnya di hospital dan kemudiannya gagal dikesan sehingga hari ini.

“Kita juga difahamkan Dewi masih mempunyai nenek, bagaimanapun usaha pihak hospital untuk menghubungi waris terdekatnya tidak berjaya termasuk menjalankan siasatan di rumah keluarga wanita itu di Pasir Gudang.

“Berdasarkan alamat diberikan hospital, kediaman wanita berkenaan adalah rumah sewa dan kini dihuni keluarga lain yang mengaku tidak mengenalinya,” katanya.

Manayi berkata, pihaknya turut dimaklumkan ibu kandung Dewi telah dipenjarakan atas kesalahan jenayah.

Tambahnya, hasil semakan dengan Jabatan Penjara, tiada maklumat mengenai wanita berkenaan berdasarkan nombor kad pengenalan.

“Jabatan Penjara juga mengesahkan ibu muda berkenaan hanya mempunyai rekod reman di Penjara Simpang Renggam pada 2013,” katanya.

Sinar Harian 11 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment