May 13, 2016

Jerebu Jun hingga Oktober

Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Negara dijangka mengalami jerebu antara Jun hingga Oktober depan berikutan cuaca panas dan kering di Wilayah Sumatera serta Kalimantan Indonesia.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, fenomena La Nina yang menyebabkan hujan di beberapa negeri sepanjang Jun hingga September akan mengurangkan kesan pencemaran akibat jerebu.

Katanya, keadaan ini diramalkan berdasarkan kajian yang dilakukan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura.

"Mengikut kajian itu, musim kering yang berlaku Wilayah Sumatera dan Kalimantan menyebabkan angin akan bertiup ke Malaysia serta boleh menyebabkan jerebu.

"Namun, hujan yang berlaku di beberapa tempat mengurangkan kesannya dan mungkin boleh menyebabkan banjir terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang,"katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, Perjanjian Persefahaman (MoU) menangani jerebu yang ditandatangani dengan Wilayah Sumatera sebelum ini tidak akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, katanya, usaha menangani masalah itu akan dilaksanakan menerusi kerajaan dengan kerajaan (G2G).

myMetro 11 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment