May 13, 2016

Jalan guna lutut

ABDUL Qahar tidak kekok ketika menaiki tangga untuk ke kelas.

Kuala Krai: Jam menunjukkan hampir 7 pagi dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun kelihatan mundar-mandir dalam sebuah rumah di Kampung Sungai Durian, di sini untuk ke sekolah.

Menggunakan sepenuh kudrat kedua-dua lutut dan tapak tangan, Abdul Qahar Abdul Hadha itu tidak ubah seperti murid tahun lima lain yang ceria dan gembira ke kelasnya di Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra (1), di sini.

Dia mengalami kecacatan separuh badan atau Tibia Hemophilia sejak lahir yang menyebabkannya tidak boleh berjalan dan hanya bergerak menggunakan lutut atau kelihatan seperti merangkak.

Berkesempatan mengikuti rutin harian kanak-kanak itu di rumahnya sehingga ke sekolah, kelmarin, Abdul Qahar kami gelarkan sebagai orang kurang upaya (OKU) ‘power’ kerana sikap berdikari dan semangat juang tinggi pada usia yang masih mentah.

Dia seperti tiada kurang apa-apa kerana lebih senang melakukan semua aktiviti sendiri dan tidak memerlukan bantuan untuk mengurus keperluan dirinya.

myMetro 12 Mei 2016


'Buru' pakar

ABDUL Qahar bersiap untuk ke sekolah sambil dibantu neneknya, Rafiah Maksih.

Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Third Force bercadang mendapatkan pakar untuk mencipta pelapik lutut khas buat Abdul Qahar Abdul Hadha, 11, yang menggunakan lutut untuk berjalan.

Pengasasnya, Raja Shamri Raja Husin berkata, beliau sudah melihat keadaan Abdul Qahar ketika mengadakan motivasi di sekolah murid tahun lima itu di Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra (1), sebelum ini.

Beliau juga ke rumah Abdul Qahar di Kampung Sungai Durian, di sini, minggu lalu untuk menyampaikan sumbangan kerusi roda.

“Saya memahami keadaannya dan akan cuba bantu mendapatkan pakar untuk mencipta pelapik lutut untuk melindungi anggota badan itu.

“Kami bimbang jika tidak dilindungi, ia akan beri kesan kepada tubuhnya selain mahu adik ini lebih selesa bergerak.

“Saya sendiri menggunakan kaki palsu yang mendapatkannya di Bangi, Selangor terdapat pusat pemulihan dan anggota tiruan. Berkemungkinan besar di situ boleh menyediakan kelengkapan itu.

“Cuma kami perlu cari dana dan membawa Abdul Qahar ke sana untuk pengenalpastian,” katanya keika dihubungi di sini, semalam.

Raja Shamri berkata, beliau akan cuba mencari dana dan mendapatkan maklumat lanjut daripada pakar yang boleh mencipta pelapik itu sebelum meminta kebenaran keluarga kanak-kanak itu.

Katanya, semua proses itu dijangka mengambil masa dan perlu dilaksana ketika cuti sekolah bagi mengelak mengganggu pelajarannya.

Harian Metro semalam melaporkan kisah Abdul Qahar, kanak-kanak yang sangat cekal dan berdikari meskipun mengalami kecacatan sejak lahir dan hanya berjalan menggunakan lutut.

Dia bukan saja mengurus keperluan dirinya sendiri, malah bergaul mesra dengan rakan sebaya termasuk mampu bermain bola sepak.

myMetro 13 Mei 2016





0 comments:

Post a Comment