May 21, 2016

‘Inilah istana kami’

Rumah didiami lapan beranak yang berdindingkan zink.

KUALA PERLIS - Biarpun kediaman mereka nampak usang kerana hanya berdindingkan zink, namun itulah istana buat lapan beranak di sini untuk berteduh.

Rumah yang didiami Azmi Nyan, 40, bersama pasangannya, Sitiasa Suwamin, 41, dan enam anak mereka bukan sahaja dibina ala kadar, malah tidak dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik.

Rumah itu dibina atas tanah rizab sungai milik Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis di Kampung Wai, di sini.

Azmi berkata, sebelum ini dia mempunyai sebuah rumah di kampung itu hasil bantuan pihak Baitulmal dan dibina di atas tanah milik ayahnya.

"Namun atas beberapa masalah, saya terpaksa bawa keluarga berpindah dan menyewa di merata tempat sebelum tinggal di sini sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, kini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah loji.

"Pendapatan saya hanya cukup tampung makan minum kami sekeluarga saja.

"Saya tak mampu nak bina rumah yang lebih selesa," katanya yang mempunyai anak berusia antara setahun hingga 16 tahun.

Katanya, dua daripada anaknya juga berstatus orang kurang upaya (OKU) di mana salah seorangnya mengalami sakit kulit kronik dan seorang lagi ada masalah pembelajaran.

Sementara itu, Sitiasa berkata, dia membuat rokok daun bagi menambah pendapatan keluarganya.

“Hasil jualan rokok daun bolehlah saya gunakan untuk belanja dapur,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan melalui akaun Maybank (159021092354) atas nama Azmi Nyan.

Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment