May 21, 2016

Impian Keoi jadi pengarah filem terkubur

Teluk Intan: “Arwah mempunyai impian bergelar pengarah filem suatu hari nanti, namun apakan daya Tuhan lebih menyayanginya,” kata Khalid Mamat, 70, bapa kepada pengarah drama popular ‘Tundukkan Playboy Itu’, Keoi Khalid, 44, yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Gerik, malam kelmarin.

Allahyarham meninggal dunia jam 8.13 malam ketika penggambaran drama berjudul ‘Cinta 11 Syarat’ di atas Rumah Bot, di sebuah resort, di Tasik Banding, dekat Gerik.

Keoi atau nama sebenarnya Khairul Amri Abas, pernah mengarahkan ratusan drama yang disiarkan di beberapa stesen televisyen tempatan.

Khalid ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Setia, di sini, berkata, arwah anaknya itu seorang yang bertanggungjawab dalam hal keluarga kerana walaupun tegas, dia sangat peramah dan disukai semua ahli keluarga serta saudaranya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu anak lelakinya itu pada cuti persekolahan Mac lalu apabila arwah pulang ke kampung, malah dia sekeluarga sepatutnya berjumpa Sabtu ini di Kuala Lumpur sempena kenduri kahwin anak sepupunya.

“Saya tidak sangka sama sekali dia akan pergi lebih awal daripada saya. Sepatutnya saya yang pergi dulu sebelum dia,” katanya sebak.

Seorang kru produksi, Jeremy Jamal Marshal Abdullah, 21, ketika di temui berkata, dia bersama kru dan arwah bersama-sama membuat penggambaran drama berjudul Cinta 11 Syarat sejak sebulan yang lalu di Gerik.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama beberapa kru dan arwah menunggu giliran untuk mandi serta bersalin pakaian selepas berborak di atas Rumah Bot di Tasek Banding.

“Arwah masa itu berdiri selang dua orang di hadapan saya berdekatan pintu bilik mandi apabila tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Saya lihat mulut arwah ternganga dan berbuih. Kami bersama Pengurus Produksi, Lena Hashim, yang turut berada di sana cuba untuk memberi pertolongan kecemasan, tetapi tidak berjaya.

“Kami meminta pertolongan pengusaha bot laju untuk membawanya ke Kem Praktikal berdekatan untuk rawatan, namun atas sebab-sebab tiada peralatan bantuan kecemasan di situ, kami membawa arwah dengan bantuan kakitangan kem berkenaan ke Hospital Gerik sebelum dimaklumkan arwah meninggal dunia ketika rawatan,” katanya.

myMetro 20 Mei 2016


Keoi Khalid rebah di lokasi


Oleh Hanisah Selamat hanisah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pengarah drama Tundukkan Playboy Itu, Keoi Khalid yang meninggal dunia malam tadi dijangka dikebumikan selepas Zuhur di kampungnya di Teluk Intan, Perak.

Allahyarham yang menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Cinta 11 Syarat terbitan Global Station di Gerik dikatakan menghadapi masalah sesak nafas selepas mengadu sakit dada ketika di lokasi. Keoi atau nama sebenarnya Khairul Amri Khalid, 44, rebah kira-kira jam 8.13 malam namun disahkan sudah meninggal dunia ketika paramedik tiba di tempat kejadian.

Jenazahnya kemudian dikejarkan ke Hospital Gerik untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Teluk Intan bagi urusan pengebumian.

Allahyarham yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) meninggalkan isteri, Norhaslynda Hanafi, 44, serta tiga anak berusia lingkungan 15 tahun hingga dua tahun.

Antara drama arahannya adalah Aku Cinta Kau Seorang, Anak Lorong, Pulanglah Abah, Korban cinta Alif Imani, Cik Bunga Encik Sombong, Dalam Iradat Mu, Raya PakPakPong, Villa Untuk Ibu, Dosa Seorang Suami, Kerana Dia Juga Cikgu, Seindah Anugerah, Badai Cintamu dan Ayuni Safira.

Berita Harian 19 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment