May 6, 2016

Ikan mati kepanasan


RIBUAN bangkai ikan talapia kelihatan reput serta berbau busuk terapung di Kolam Takungan Banjir Semabok.

Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Ribuan ikan dalam Kolam Takungan Banjir Semabok, di sini, semalam, ditemui mati dipercayai akibat panas melampau hingga menyebabkan suhu dalam kolam berkenaan meningkat.

Senario ikan memenuhi bahagian gigi kolam takungan itu, dipercayai bermula sejak Isnin lalu berikutan air dalam kolam takungan yang semakin cetek.

Difahamkan, penduduk mendakwa pihak tidak bertanggungjawab meracun ikan dalam kolam takungan itu, namun sebahagian kaki pancing mendakwa tiada unsur sabotaj, sebaliknya air cetek sedalam 0.2 meter (8 inci) menyebabkan ikan tidak tahan panas dan berada di gigi kolam iaitu kawasan yang lebih dalam berbanding di tengah.

Seorang kaki pancing, Mazlan Awang, 47, berkata, semua ikan yang mati adalah ikan talapia berikutan ia spesies yang lebih sensitif.

“Dalam kolam ini ada pelbagai jenis ikan seperti haruan, keli dan toman, namun kita tahu yang talapia agak sensitif, sebab itu hanya ikan talapia mati, jika ada pihak yang meracun kolam ini pasti semua ikan timbul.

“Pada Isnin lalu, keadaan di kolam tadahan ini bagaikan pesta kerana ikan-ikan masih hidup, tapi berada di tepi kolam menyebabkan penduduk sekitar menangguk dan menjala di sini,” kata Mazlan dari Bukit Baru, ketika di temui semalam.

Menurutnya, dia yang turut tidak melepaskan peluang menangkap ikan dengan turun menangguk dalam kolam takungan banjir itu dan membawa pulang empat karung ikan talapia.

“Waktu saya turun ke kolam, airnya hanya paras kira-kira 0.2 meter dan saya dapat rasai betapa air kolam itu panas, sebab itu saya katakan ikan-ikan ini cuba menyelamatkan diri mencari kawasan air yang sejuk.

“Bagaimanapun, semalam ikan-ikan ini sudah mati,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Azza Mohd Dan, 38, berkata, dia mendapati orang ramai bagaikan berpesta di kolam takungan itu.

“Saya sering berulang alik menghantar dan mengambil anak ke sekolah. Pada Isnin, saya lihat riuh rendah orang menangkap ikan, tapi hari ini (semalam) banyak ikan mati dalam kolam,” katanya.

myMetro 5 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment