May 28, 2016

Ibu rayu bantuan biayai kos bedah anak

Mohd Fadharul Nizam menerima rawatan di sebuah hospital swasta di bandar raya ini.

JOHOR BAHRU - Seorang ibu merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos rawatan anaknya yang perlu menjalani 10 pembedahan secara berperingkat.

Kos keseluruhan dianggarkan RM100,000 selepas anaknya itu terlibat dengan kemalangan jalan raya, minggu lepas.

Menceritakan kisahnya, Rohani Ahmad, 49, berkata, anaknya, Mohd Fadharul Nizam Fadzil, 22, yang mengusahakan bengkel membaiki motosikal di kawasan rumahnya di Saleng, Kulai, terlibat dalam kemalangan selepas bertemu pelanggan pada 19 Mei lalu di Gelang Patah.

Akibat kemalangan itu katanya, Mohd Fadharul Nizam cedera parah di kaki kiri sebelum dihantar ke sebuah hospital awam pada jam 8 pagi, untuk menerima rawatan di bahagian kecemasan dan dimasukkan ke wad pada jam 12 tengah hari.

“Doktor beritahu dia perlu berpuasa sebelum menjalani pembedahan, tetapi selepas menunggu hingga jam 9 malam, doktor minta anak saya buka puasa. Doktor kata pembedahan tak dapat dijalankan mengikut waktu ditetapkan kerana tiada kekosongan di dewan bedah.

“Anak saya diminta berpuasa kali kedua jam 2 pagi pada Jumaat (20 Mei 2016) untuk pembedahan, namun hingga jam 8 pagi tiada sebarang pembedahan dilakukan, dan dalam tempoh berkenaan, dia hanya dimasukkan satu pek darah, selain ubatan tertentu.

“Saya yang khuatir dengan keadaan kakinya kerana sudah berbau busuk dan 24 jam tanpa tindakan sesuai, nekad memindahkannya ke sebuah hospital swasta di bandar raya ini,” katanya.

Suri rumah itu berkata, Mohd Fadharul Nizam kemudiannya disahkan mengalami jangkitan kuman di bahagian kaki dan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, doktor melakukan pembedahan serta memasukkan enam pek darah kerana dia mengalami pendarahan serius.

“Doktor juga mengesahkan tulang besar Mohd Fadharul Nizam patah dua, selain tulang kecil patah tiga bahagian. Jika lambat diberi rawatan, anak saya kemungkinan terpaksa kehilangan kaki  akibat jangkitan kuman.

“Sepatutnya jika anak saya tak dapat dibedah kerana dewan bedah penuh, hospital awam terbabit perlulah ambil tindakan lain, misalnya pindahkannya ke hospital awam lain bagi menyelamatkan kakinya,” katanya.

Dalam pada itu, Rohani berkata, keluarganya menerima bantuan kewangan RM20,000 daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan hasil derma orang ramai sebanyak RM4,299 yang bersimpati dengan keadaan anaknya selepas membaca kisah yang diviralkan di laman sosial.

“Jumlah tersebut masih tak cukup. Kami risau dengan kos pembedahan Mohd Fadharul Nizam kerana suami hanya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan pendapatannya kira-kira RM2,900 sebulan.

“Kami bukanlah orang senang dan bukan sengaja masukkan anak ke wad hospital swasta. Kami buat begitu untuk selamatkan kaki kirinya daripada mengalami jangkitan kuman serius,” katanya yang turut dimaklumkan oleh doktor bahawa  Mohd Fadharul Nizam hanya boleh berjalan selepas tempoh lebih setahun.

Sementara itu, pihak hospital awam terbabit memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kejadian yang disebarkan menerusi laman sosial itu.

Wartawan Sinar Harian
28 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment