May 21, 2016

Hospital simpan otak kiri anak

Latifah bersama Ahmad Firdaus yang terlantar selepas otak kiri dikeluarkan akibat membengkak.

Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my

Batu Pahat: Ahmad Firdaus Norazmi, 14, diramal mempunyai 15 peratus peluang untuk hidup selepas menjalani pembedahan mengeluarkan sebahagian otak pada penghujung Mac lalu.

Dalam erti kata lain, Ahmad Firdaus kini bergantung hidup dengan otak kanan selepas otak kirinya dikeluarkan akibat membengkak.

Bagaimanapun, berkat doa dan semangat kental, Ahmad Firdaus berpeluang kembali normal dengan menjalani satu lagi pembedahan memasukkan kembali otak kirinya sekiranya bahagian itu mengecut.

Bagaimanapun, Ahmad Firdaus berdepan ujian getir apabila sistem saraf otaknya gagal berfungsi menyebabkan beberapa anggota badannya tidak berdaya untuk bergerak.

Ahmad Firdaus atau lebih mesra dipanggil Daus berdepan penyakit angin ahmar serius dan kini lebih banyak menghabiskan masa dengan berbaring selain kurang bercakap.

Malah, kunjungan wartawan Harian Metro ke kediaman keluarga Ahmad Firdaus di Kampung Sri Pasir, Sri Medan semalam, mendapati anak kedua daripada tiga beradik berkenaan kelihatan lemah dan pucat.

Melihat keadaan keluarganya yang tinggal di rumah kedai serba kekurangan itu juga menimbulkan rasa simpati kerana dengan pendapatan bersih bapanya iaitu RM450 sebulan, sukar untuk membayangkan bagaimana keluarga Ahmad Firdaus mengharungi dugaan itu.

Bapanya, Norazmi Abdullah, 40, berkata, kejadian menimpa Ahmad Firdaus berpunca daripada kemalangan sewaktu remaja berkenaan pulang daripada sekolah, pertengahan Mac lalu.

“Ahmad Firdaus dirempuh kereta menyebabkan kepalanya terhentak pada objek. Ia mengakibatkan pendarahan pada otaknya. Ketika dirawat, doktor mendapati otak kirinya membengkak menyebabkan bahagian berkenaan dikeluarkan bagi mengelak risiko berlaku pendarahan serta jangkitan kuman jika dibiarkan.

“Berikutan itu, sebahagian otak Ahmad Firdaus kini disimpan di HSA. Akibat bergantung hidup dengan sebahagian otak, Ahmad Firdaus tidak mampu bergerak seperti sebelum ini.

“Malah Ahmad Firdaus kerap lupa jika ia membabitkan perkara yang baru berlaku, hanya perkara lama diingatinya. Paling menyentuh hati apabila dia meminta maaf kerana kesalahan lampaunya,” katanya.

Menurut Norazmi, Ahmad Firdaus perlu mendapatkan rawatan susulan di HSA dalam masa terdekat dan dijangka menjalani satu lagi pembedahan, September ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Norazmi di talian 011-35286627.

myMetro 16 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment