May 11, 2016

‘Henti sebar gambar bayi kami’

GUA MUSANG - “Saya mohon orang ramai hentikan penyebaran gambar bayi kami. Tolonglah faham situasi kami sekarang,” kata Zahairuddin Adnan, 36, bapa bayi yang meninggal dunia beberapa minit setelah dilahirkan.

Pada Jumaat lalu, berita mengenai bayi ini mula mendapat perhatian ramai kerana dikatakan mempunyai kalimah ALLAH di telinga dan huruf ‘Bismmi’ di bahagian paha.

Menurut Zahairuddin, dia berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan bayinya itu, namun terkilan apabila ada gambar yang tidak sepatutnya tersebar luas.

“Memang betul bayi kami ada tanda berkenaan. Namun, saya tidak sangka dan terkejut bila dapat tahu orang ramai menyebarkan gambar Allahyarham di media sosial. Malah, sehingga hari ini, masih ada yang berbuat demikian.

“Saya mohon, hentikannya. Fikirlah situasi kami terutama isteri saya kerana gambar sebegitu tidak sepatutnya dirakam. Kami juga tidak merakam gambarnya untuk disebarkan.

“Apa perasaan anda sekiranya gambar itu milik saudara mara sendiri? Tentu kita sendiri tahu, tidak boleh rakam gambar orang yang sudah tiada untuk disebarkan. Ia seolah-olah tidak menghormati kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Mariani Ramli, 31, memberitahu, dia mengetahui keadaan bayinya itu sejak usia kandungan empat bulan lagi.

“Doktor sarankan saya supaya ‘buang’ kandungan ini lebih awal kerana ia berisiko. Namun, setelah berbincang dengan suami, saya nekad meneruskan kandungan.

“Namun, saya berdepan masalah kekeringan air ketuban. Kos untuk memasukkan air ketuban itu RM600 dan kami tidak mampu. Sepatutnya, jangkaan bersalin pada awal Jun depan.

“Saya reda dengan pemergiannya kerana ALLAH lebih menyayanginya. Saya pula akan meneruskan tempoh berpantang selama 44 hari,” katanya.

Bayi bernama Siti Khadijah itu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lembaga, di sini.

Pasangan ini mempunyai tiga anak iaitu Junaidah, 5, Juliana, 3, dan Zafran, 18 bulan.

Wartawan Sinar Harian
10 Mei 2016


Bayi syurga teristimewa

Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

Gua Musang: Meninggal dunia 20 minit selepas lahir dan kelahirannya cukup istimewa kerana telinga kiri ada bentuk kalimah Allah SWT, manakala bahagian sisi punggungnya mempunyai tanda lahir berwarna merah tertera tulisan jawi ‘Bismmi’ iaitu separuh daripada perkataan, Bismillah.

‘Bayi syurga’ itu meninggal dunia pada 12.45 tengah hari Jumaat lalu di Hospital Gua Musang, di sini.

Bagi ibunya, Mariani Ramli, 31, walaupun sedih kerana kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu, dia percaya ada hikmah di sebaliknya.

Katanya, Allah pinjamkan dia dan suami, Zahairuddin Adnan, 36, anak ini untuk seketika.

“Dia (anak) istimewa walau dilahirkan pada usia kandungan lapan bulan, tanpa sebelah kaki dan tiada jantina (tidak membentuk).

“Kami reda kehilangannya kerana dia sudah tinggalkan sesuatu yang ‘bermakna’ untuk kami. Dia seperti senyum ketika memandang kami sebelum pergi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lembaga, di sini.

Mariani berkata, berbesar hati dapat mengandungkan anak itu yang tidak dinamakan kerana telinga kiri bayi berkenaan membentuk kalimah Allah, manakala bahagian sisi punggungnya mempunyai tanda lahir berwarna merah menyerupai bahasa Jawi.

Katanya, Zahairuddin yang memeriksa tubuh anak mereka memaklumkan tanda lahir itu membentuk perkataan ‘Bismmi’ iaitu separuh daripada perkataan penuh, Bismillah.

“Ini kebesaran Allah buat anak kami walau pinjaman sementara saja, cukup untuk kami simpan sebagai kenangan,” katanya yang sudah dimaklumkan doktor bahawa bayi bakal dilahirkan cacat ketika usia kandungan mencecah empat bulan.

myMetro 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment