May 21, 2016

‘Harap sangat anak dapat kad OKU’

Puan bersama anaknya, Mohd Zaki (kiri) Mohd Azlan (kanan).

KANGAR - Seorang ibu tunggal memerlukan kad orang kurang upaya (OKU) untuk dua anaknya yang lembam bagi memudahkan urusan mendapatkan rawatan di hospital.

Puan Abdullah, 63, berkata, selepas kematian suami sejak lima tahun lalu, dia terpaksa menyara dua anaknya yang lembam dengan hanya menjual kuih muih dan nasi lemak di hadapan rumah.

Menurutnya, anaknya, Mohd Zaki Sobri, 30 dan Mohd Azlan Sobri, 27, kerap mengalami sawan dan keadaan itu menghalang dia untuk keluar bekerja.

"Mohd Zaki mula terkena sawan sejak berumur lima tahun, manakala Mohd Azlan sejak umur dua tahun.

“Masa lahir mereka sempurna tak dak cacat cela. Kalau orang tengok mereka macam sempurna sebab fizikal mereka sihat, tapi sebenarnya, mereka tak boleh uruskan diri sendiri,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Semperi, di sini, semalam.

Puan yang mengambil upah menjual kuih muih dan nasi lemak di hadapan rumahnya berkata, pendapatannya hanya RM8 hingga RM10 sehari cukup untuk menampung makan minum harian mereka tiga beranak.

“Tapi untuk keperluan lain seperti nak bayar bil memang saya tak mampu.

“Saya malu nak minta bantuan, biarlah saya hidup seperti ini cumanya saya berharap sangat anak-anak saya dapat kad OKU bagi memudahkan urusan di hospital,” katanya.

Ditanya sama ada sudah memohon kad OKU, Puan menjelaskan dia tidak tahu saluran mana untuk memohon kad berkenaan.

"Saya mohon mana-mana pihak berwajib tampil membantu kami sebab sejak kebelakangan ini, anak-anak sering terkena sawan, kadang-kadang sehari sampai dua kali.

“Saya memang tak boleh tinggal mereka berdua di rumah sebab pernah terjadi anak saya Mohd Zaki terkena sawan ketika di bilik air,” katanya.

Puan berkata, dulu dia pernah mengambil upah membasuh pakaian penduduk kampung, namun sejak kedua-dua anaknya kerap terkena sawan dia tidak berani untuk meninggalkan mereka berdua bersendirian di rumah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi Puan Abdullah di talian 017-439 4140.

Wartawan Sinar Harian
14 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment