May 13, 2016

Guna wang pencen sara anak OKU

ARKIB 5 Mei 2016
Mahfudz (kiri) bersama Norbiha di rumahnya di Kampung Melayu Bekok.

Wartawan Sinar Harian

LABIS - Seorang warga emas di Kampung Melayu Bekok, di sini, tabah menjaga anak perempuannya yang juga  orang kurang upaya (OKU) sejak isterinya meninggal dunia 15 tahun lalu.

Mahfudz Losso, 74, berkata, selepas ketiadaan isterinya, Safiyah Isnin, dia menjaga sepenuhnya, Norbiha, 47, menggunakan wang pencennya selepas bersara pada 1994.

“Dia (Norbiha) dilahirkan normal,  tidak mempunyai tangan kiri, selain tidak boleh bercakap dan pekak. Dia hanya mampu menyebut perkataan emak dan ayah sahaja sejak kecil sehingga sekarang.

“Pakcik dan arwah isteri hanya menyedari dia tidak boleh bercakap dan mendengar apabila usianya hampir setahun kerana perlakuannya tidak sama seperti bayi seusia dengannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun Norbiha hanya bersekolah sehingga darjah lima, anak kelima daripada tujuh beradik itu boleh menulis dan melakukan kerja rumah.

Katanya, selepas bersara daripada perkhidmatan awam, dia hanya mengharapkan wang pencennya untuk menyara dirinya dan Norbiha kerana tidak mampu bekerja disebabkan faktor umur dan kesihatan.

"Pakcik dan arwah isteri tak pernah beza-bezakan Norbiha dengan anak yang lain. Lepas isteri meninggal, pakcik nekad jaga dia hingga akhir hayat dan berharap adik-beradiknya yang lain mampu menjaganya seperti pakcik lakukan sekarang kerana dia tak pernah berkahwin.

"Dia juga tak ada kad OKU, sebab itu pakcik harap sangat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu terutama dari segi bantuan bulanan agar kebajikannya terjaga selepas ketiadaan pakcik nanti,” katanya.

0 comments:

Post a Comment