May 6, 2016

Gempar jumpa mayat hanyut

MAYAT mangsa ditemui di Sungai Klang berhampiran tapak pembinaan.

myMetro

Kuala Lumpur: Sekumpulan pekerja tapak pembinaan di Batu 3 Jalan Klang Lama, di sini, gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki di Sungai Klang, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, pekerja kontrak warga Bangladesh ternampak mayat dipercayai warga asing lengkap berpakaian di gigi air.

Pengurus keselamatan tapak pembinaan itu, Azmi Mahmud, 47, berkata, ketika kejadian semua pekerja melakukan tugas masing-masing.

“Secara tiba-tiba seorang pekerja memaklumkan menemui mayat lelaki di sungai sebelum saya bergegas ke lokasi.

“Saya meninjau dan mendapati mayat dihanyut arus ke hilir sungai. Pada masa sama saya menghubungi polis,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia membantu polis menahan mayat menggunakan kayu supaya tidak hanyut sebelum pasukan bomba menaikkan jasad itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, sehingga petang semalam pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

“Mangsa dikenali sebagai Alam Azarmia, warga Myanmar berusia 34 tahun. Kami mendapati kesan luka sepanjang satu sentimeter pada kening kanan dipercayai terlanggar objek keras ketika dihanyutkan.

“Tiada kesan cedera akibat pergelutan atau unsur jenayah ditemui pada badan mangsa. Mayat ditemui dalam keadaan sempurna.

“Semakan laporan membabitkan orang hilang juga tiada dalam rekod. Mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya.

myMetro 5 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment