May 21, 2016

Gara-gara tayar van pancit

Keadaan van yang dipandu mangsa terbalik ke tengah pembahagi Lebuhraya SPDH, arah Seremban ke Port Dickson.

Nurulatiq Ahmad Bandi

PORT DICKSON – Perkakasan berniaga antaranya tong gas dan dapur bertaburan atas jalan selepas van dipandu peniaga apam balik di Batu 4, terlibat dalam kemalangan di Kilometer 28.1 Lebuhraya SPDH, arah Seremban ke Port Dickson, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku sekitar jam 2.05 petang itu berpunca apabila tayar belakang van berkenaan pancit menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbalik.

Menurutnya, akibat kejadian itu, pemandu, Jamaris Jamaan, 56, cedera parah di kepala dan patah tulang rusuk kanan sementara anak perempuannya, Junaidah, 20, yang juga cedera dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut.

“Tiga lagi penumpang kenderaan yang juga ahli keluarga Jamaris secara fizikal tidak mengalami sebarang kecederaan namun tetap dibawa ke HPD untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, Jamaris tersepit di tempat duduk pemandu dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang.

Sinar Harian 17 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment