May 5, 2016

Empat pelancong dikhuatiri lemas

DUA pelancong Sepanyol yang dikhuatiri lemas di perairan Balambangan, Kudat.

Junaidi Ladjana

Kudat: Empat pelancong termasuk seorang rakyat tempatan dikhuatiri lemas di laut ketika dalam perjalanan pulang ke penginapan mereka dalam kejadian di perairan Balambangan di sini, petang semalam.

Empat mangsa iaitu Lam Wai Yin Tommy (China), 45; David Hernandes Gasulla (Sepanyol), 30; Martha Miguel (Sepanyol), 30; dan seorang rakyat tempat dikenali sebagai Ella ,23, dilaporkan hilang 5.30 petang oleh rakan mangsa yang membuat laporan polis di Balai Polis Kudat, 1 tengah hari tadi.

Difahamkan, semua mangsa dalam perjalanan pulang dari Kampung Batu Sirih Balambangan, Banggi, ke Kudat, namun sehingga kini mereka gagal dikesan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan untuk mengesan bot dinaiki semua mangsa.

"Setakat ini, operasi SAR masih dijalankan membabitkan agensi penyelamat iaitu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat.

"Punca kejadian masih belum diketahui dan ketika mangsa dilaporkan hilang ombak berketinggian 0.5 hingga satu meter arah angin Utara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

myMetro 3 Mei 2016



Selamat di perairan Vietnam

MANGSA hilang disahkan selamat (dari kiri) David, Martha, Tommy dan Armella. FOTO ihsan APMM

Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Empat individu termasuk dua warga Sepanyol yang hilang di perairan Kudat sejak 2 Mei lalu, disahkan selamat.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, Lam Wai Yin Tommy, 45; David Hernandes Gasulla, 30; Martha Miguel, 30; dan Armella Ali Hassan, 23, disahkan bersama sekumpulan nelayan di perairan Vietnam, kira-kira 8.30 pagi tadi.

"Sebelum itu, Kapal Maritim (KM) Bistari yang sedang membuat operasi mencari dan menyelamat mangsa, menahan kapal nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara.

"Tekong kapal itu kemudian menghubungi rakan mereka yang berada di kapal lain menggunakan telefon satelit dipercayai untuk memaklumkan penahanan mereka.

"Bagaimanapun, kedengaran suara seorang wanita dan memperkenalkan diri sebagai Armella dalam Bahasa Melayu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, Armella turut memaklumkan berada bersama Tommy di dalam bot manakala pasangan warga Sepanyol, David dan Martha berada di bot yang lain.

"Mangsa kini berada di perairan Vietnam bersama kumpulan nelayan terbabit.

"KM Bistari dan Kapal Diraja (KD) Baung sedang dalam perjalanan ke sana untuk membawa pulang keempat-empat mangsa ke Kota Kinabalu," katanya.

Mereka dijangka tiba di sini esok pagi, katanya.

Pada 2 Mei lalu, keempat-empat mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan menaiki bot ke Tanjung Simpang Mengayau dari Pulau Balambangan, Kudat.

myMetro 12 Mei 2016


Pulang selepas 12 hari hilang

Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Semua empat mangsa yang dilaporkan hilang di perairan Kudat pada 2 Mei lalu, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, jam 9.15 pagi tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, mangsa diterbangkan menggunakan pesawat Bombadier CL415 dari Pulau Layang-Layang, jam 8 pagi, tadi.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Gleaneagle Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

"Setakat ini, mereka hanya mengalami kecederaan luaran terutamanya melecur pada kulit akibat terkena bahang matahari ketika hanyut di laut," katanya, di sini, hari ini.

Semalam, mangsa Lam Wai Yin Tommy, 45, David Hernandes Gasulla, Martha Miguel, 30, dan Armella Ali Hassan, 23, tiba di Pulau Layang-Layang jam 10.30 malam tadi menaiki KM Bistari diiringi KD Baung.

Mereka sebelum itu diserahkan nelayan Vietnam di sempadan perairan negara dan dibawa ke pulau berkenaan untuk berehat selain diberi rawatan sementara.

myMetro 13 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment