May 21, 2016

Empat pelajar berdepan detik cemas

Kenderaan yang dinaiki empat pelajar bersama seorang pemandu dalam perjalanan ke Festival Bahasa Arab terbakar, kelmarin.

BENTONG - Empat pelajar sebuah sekolah, termasuk seorang pemandu terselamat apabila van dinaiki mereka terbakar di Kilometer 48.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pelajar berkenaan, Abdul Helmi Mohd Hanafiah; Mohd Mujid Mohd Noor; Abd Rahman Sazlan dan Mohd Hafif Nor Hamizi; masing-masing berusia 17 tahun.

"Semua pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Ampuan Fatimah, Pekan dalam perjalanan ke ibu negara untuk menghadiri Festival Bahasa Arab di Universiti Malaya.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu van Kia Pregio, Nor Hisyam Zulkifli, terhidu bau hangit dan melihat asap di bahagian tayar depan sebelah kanan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, menyedari situasi tersebut, semua mangsa turun daripada van berkenaan menyelamatkan diri sebelum kenderaan itu terbakar dan hangus sepenuhnya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini. Bagaimana pun, pakaian mangsa dan dompet pemandu tidak sempat diselamatkan.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 5.10 petang.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita dapati semua penumpang termasuk pemandu van terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Semua mereka meneruskan perjalanan dengan kenderaan lain.

Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2016


Guru, pelajar cemas van terbakar

VAN yang terbakar. FOTO ihsan pembaca

Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

Bentong: Perjalanan guru serta empat pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan ke Universiti Malaya (UM) menjadi cemas apabila van dinaiki terbakar di Kilometer 48.3 Lebuhraya Karak, petang tadi.

Dalam kejadian 5.10 petang itu, guru dan empat pelajar berkenaan bagaimanapun sempat keluar menyelamatkan diri dari kenderaan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong Zainal Abidin Nong Chik berkata, pemandu van itu menyedari tayar hadapan sebelah kanan kenderaan itu berasap.

"Panik dengan keadaan itu pemandu berkenaan mengarahkan semua penumpang keluar dan dia kemudiannya meninggalkan kenderaan itu tanpa menarik brek tangan.

"Akibatnya, van itu bergerak sendiri beberapa meter sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbakar," katanya ketika dihubungi, di sini.

Difahamkan ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari Pekan menuju ke UM untuk menghadiri Festival Bahasa Arab yang dijadualkan bermula esok.

myMetro 17 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment