May 21, 2016

Dunia kelam 17 beranak

NORSIAH (berdiri kanan) bersama anak dan cucunya di kediamannya di Plentong Johor Bahru.

Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Biarlah kami 17 beranak tinggal di dunia kami sendiri asalkan tidak menjejaskan keselesaan orang lain kerana ada memandang serong kepada kami,” kata Norsiah Sidek, 64, yang nekad tinggal di kebun sayur berhampiran Kampung Plentong Tengah, Plentong di sini, sejak dua tahun lalu.

Norsiah menjalankan aktiviti mengumpul besi buruk dan barangan terbuang bagi menambah pendapatan keluarga tinggal di pondok yang hanya dilengkapi dua bilik tidur bersama suami, enam anak, tujuh cucu dan dua menantu.

Menurutnya, dia dan ahli keluarganya lebih rela menjalani kehidupan serba kekurangan itu berbanding tersinggung dengan kata-kata segelintir masyarakat yang kurang menyenangi kehadiran mereka di kampung berhampiran sebelum ini.

“Bukan apa, kami bukan orang senang malah saya juga memiliki tiga anak tidak normal, seorang yang menderita sakit kulit dan dua orang pula mengalami masalah lembam dan kerap diserang sawan.

“Malah, sejak empat tahun lalu saya dan dua anak perempuan termasuk seorang yang tinggal bersama menjalankan aktiviti mengumpul besi buruk di kawasan pembuangan sisa binaan, mungkin aktiviti kami ini juga kurang disenangi.

“Namun apa daya kami, kekurangan yang kami hadapi ini adalah ujian daripada Allah dan kami tidak putus-putus untuk terus berusaha demi keluarga terutama tiga anak yang kurang sihat itu,” katanya.

Norsiah berkata, biar pun empat ahli keluarganya mempunyai pendapatan tetap termasuk suaminya, Othman Mustafa, 56, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun pendapatan keseluruhan isi rumahnya bawah RM3,000 sebulan.

Menurutnya, dua orang anak lelakinya pula bekerja sebagai pembekal roti manakala menantu lelakinya sebagai pengawal keselamatan serta pendapatan berkenaan digunakan untuk mengisi perut 17 ahli keluarga selain membiaya persekolahan empat cucunya selain pembayaran bil elektrik dan air.

“Kami hanya makan apa saja yang ada termasuk menjadikan sayuran seperti pucuk ubi sebagai lauk pada setiap hari namun kami bersyukur sekurang-kurangnya dapat menjamah nasi.

“Kami juga sudah lama tidak membeli pakaian ketika Hari Raya Aidilfitri kerana terdapat lebih banyak keperluan perlu dipenuhi termasuk menyediakan wang secukupnya untuk menampung tambang teksi tiga anak ke hospital mencecah RM300 setiap bulan,” katanya.

Norsiah berkata, dia juga tidak sanggup meminta tiga anaknya itu untuk bekerja kerana faktor kesihatan dan keselamatan mereka.

Menurutnya, anak bongsunya, Marini yang kini berusia 21 tahun menderita akibat sakit kulit kronik sejak 15 tahun lalu hingga terpaksa berhenti sekolah di bangku sekolah rendah.

Manakala dua anak kembarnya pula, Jumadi dan Mohd Fuanad kini berusia 34 tahun menghidapi sawan sejak berusia 14 tahun dan sehingga kini, keadaan tubuh mereka juga lemah hingga tidak sesuai untuk bekerja menyara keluarga.

myMetro 20 Mei 2016


‘Makan lempeng alas perut’

Mas Imran (kiri) menyampaikan bantuan kepada Norsiah sambil diperhatikan Jumat (kanan) dan Manayi (dua, kanan).

AZLINA OTHMAN

JOHOR BAHRU - Kesempitan hidup menyebabkan 17 beranak terpaksa tinggal di sebuah pondok yang hanya dilengkapi dua bilik tidur di kebun sayur berhampiran Kampung Plentong Tengah, Plentong di sini, sejak dua tahun lalu.

Norsiah Sidek, 64, bersama suaminya, Othman Mustafa, 56, dan enam anak, tujuh cucu serta dua menantu nekad berpindah ke pondok tersebut selepas tidak mampu membayar sewa rumah, yang dikira mengikut RM30 setiap seorang dengan kos keseluruhan mencecah lebih RM500 sebulan.

Menurutnya, dia bersyukur dan bernasib baik kerana pemilik kebun itu iaitu lelaki berbangsa Cina memahami kesusahan keluarganya dan membenarkan mereka menyewa di situ dengan kos RM100 sebulan.

“Kami lebih rela menjalani kehidupan serba kekurangan berbanding tersinggung dengan kata-kata segelintir masyarakat yang kurang menyenangi kehadiran kami.

“Kami juga tak mahu menyusahkan orang lain. Bukan apa, kami bukan orang senang, malah saya juga memiliki tiga anak berpenyakit, termasuk seorang yang menderita akibat sakit kulit dan dua orang pula mengalami masalah lembam, kerap diserang sawan serta dikategorikan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Kumpul besi buruk

Mengakui bimbang dengan keselamatan keluarga kerana khuatir rumah tersebut dihempap pokok, ibu tujuh anak berumur 39 hingga 21 tahun itu memberitahu, mereka tiada pilihan meneruskan kelangsungan hidup.

“Sejak empat tahun lalu, saya dan dua anak perempuan termasuk seorang yang tinggal bersama menjalankan aktiviti mengumpul besi buruk di kawasan pembuangan sisa binaan, mungkin aktiviti kami ini juga kurang disenangi.

“Namun apa daya kami, kekurangan yang kami hadapi ini adalah ujian ALLAH SWT dan kami tak putus-putus terus berusaha demi keluarga terutama tiga anak yang kurang sihat,” katanya.

Menurutnya, walaupun empat ahli keluarganya mempunyai pendapatan tetap termasuk suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun pendapatan keseluruhan isi rumahnya hanya mencecah RM3,000.

“Dua anak lelaki saya pula bekerja sebagai pembekal roti, manakala menantu lelaki sebagai pengawal keselamatan. Pendapatan diperoleh digunakan untuk mengisi perut 17 ahli keluarga, selain membiayai persekolahan empat cucunya, bayar bil elektrik dan air.

“Kami hanya makan apa saja yang ada termasuk menjadikan sayuran seperti pucuk ubi sebagai lauk setiap hari. Ada ketikanya kami hanya makan mi segera atau lempeng untuk mengalas perut masing-masing sekiranya kehabisan wang.

“Kami juga sudah lama tak beli pakaian ketika Aidilfitri kerana terdapat lebih banyak keperluan perlu dipenuhi, termasuk menyediakan wang secukupnya untuk menampung tambang teksi tiga anak ke hospital mencecah RM300 setiap bulan,” katanya.

Tiga anak tak boleh bekerja

Kata Norsiah, dia juga tidak sanggup meminta tiga anaknya itu bekerja kerana faktor kesihatan dan keselamatan mereka.

“Anak bongsu saya, Marini yang kini berusia 21 tahun menderita sakit kulit kronik sejak 15 tahun lalu hingga terpaksa berhenti sekolah rendah.

“Manakala dua anak kembar saya, Jumadi dan Mohd Fuanad yang berumur 34 tahun menghidap sawan sejak berusia 14 tahun dan sehingga kini, keadaan tubuh mereka juga lemah hingga tidak sesuai untuk bekerja mahu pun menyara keluarga.

“Marini alah kepada habuk dan kulitnya akan mengelupas biar pun hanya keluar rumah untuk seketika. Oleh itu, dia terpaksa berkurung dalam bilik dan tidak mampu melakukan apa-apa termasuk memasak mahu pun bekerja,” katanya.Nasib dapat perhatian

Semalam, keluarga terbabit menerima kunjungan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam yang menghulurkan bantuan keperluan harian berjumlah RM1,000, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim dan Ketua Kampung Melayu Pandan, Jumat Jaffar.

Dalam pada itu, Manayi berkata, seorang anak kembar Norsiah yang memegang kad OKU layak menerima bantuan sebanyak RM150 sebulan, manakala Marini boleh menerima bantuan am RM150 sebulan.

“Bagaimanapun, kita akan bantu mendaftarkan seorang lagi anaknya yang tidak mempunyai kad OKU supaya dia turut layak menerima bantuan OKU tidak bekerja seperti kembarnya,” katanya.

Sementara itu, Jumat berkata, pihaknya telah memasukkan nama keluarga terbabit untuk dipindahkan ke penempatan lain yang akan dibina kerajaan berhampiran Kampung 10 dan Taman Saujana, di sini yang mengambil masa sekitar dua tahun lagi.

Sinar Harian
25 Mei 2016





0 comments:

Post a Comment