May 5, 2016

Dua polis cedera ditetak

ANGGOTA polis cedera ditetak. FOTO ihsan Polis

Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Dua anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Cheras cedera di kepala selepas ditetak pengedar dadah ketika menyerbu stor di Jalan Kuari, Cheras, kira-kira 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, dua anggota itu masing-masing berpangkat koperal dan konstabel bersama sepasukan anggota polis membuat serbuan ke atas stor di lokasi kejadian.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan selepas mendapat maklumat ia menjadi kawasan menghisap dan menjual dadah.

"Selepas sampai di lokasi kejadian, pintu stor itu berkunci dari luar tetapi ada dua lelaki tempatan bersembunyi di dalam stor berkenaan.

"Apabila pegawai operasi meminta suspek membuka pintu, mereka enggan bagaimanapun dengan tiba-tiba kedua-dua suspek berlari keluar dari stor berkenaan sambil melibas parang, " katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya, dua anggota berkenaan yang berada di hadapan pintu terkena libasan parang suspek.

"Koperal Muztaza Nizan Minhaj mengalami kecederaan di kepala dan masih di unit kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) manakala Konstabel Danny Sia Siaw Kian menerima 14 jahitan di kepala dan sudah dibenarkan keluar dari wad, " katanya.

Menurutnya,kedua-dua suspek sudah melarikan diri ke hutan berhampiran dan operasi mengesan mereka sedang dijalankan.

myMetro 30 April 2016


John Rambo dan rakan diburu

Kalidevi Mogan Kumarappa
Kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penggali kubur bergelar John Rambo sedang diburu polis manakala rakan sejenayahnya berusia 39 tahun sudah ditahan polis pada jam 9.30 pagi tadi di kawasan kubur Jalan Kuari, Cheras berhubung kes serangan ke atas dua anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Cheras.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, John berusia 44 tahun itu dipercayai masih bersembunyi di kawasan kubur yang sama.

Menurutnya,kedua-dua suspek diburu polis selepas terbabit dalam kejadian serangan menggunakan parang ke atas dua anggota polis ketika serbuan dijalankan ke atas sebuah stor di Jalan Kuari pada jam 6 petang semalam.

"Suspek yang diburu itu mempunyai lima rekod kes dadah .

" Mengenai anggota yang cedera pula, seorang daripadanya sudah dibenarkan pulang semalam, manakala seorang lagi masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

myMetro 30 April 2016


0 comments:

Post a Comment