May 13, 2016

Dua maut selepas merempuh treler


AIMAN SADIQ ABDULLAH

BENTONG - Dua maut dalam kemalangan melibatkan sebuah van Nissan Vanette dan sebuah treler di Kilometer 2.5, Jalan Bentong-Karak, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa yang maut dalam kejadian ialah pemandu van, Farizuan Fauzi,22, dan penumpang hadapan Md. Uzzal,36, yang merupakan warga Bangladesh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian jam enam pagi itu berlaku apabila  mangsa dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

"Apabila sampai di tempat kejadian pemandu van tersebut dipercayai kemungkinan mengantuk lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan kanan treler.

"Ekoran kejadian dua mangsa tersepit di bahagian hadapan dan mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ1987 dan siasatan lanjut masih lagi diteruskan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya yang tiba di tempat kejadian pada pukul 6.16 pagi mengambil masa kira-kira 20 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Tambahnya, pihaknya terpaksa memotong pintu dan bumbung van untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas dan menutup tangki minyak treler yang bocor.

"Pasukan bomba telah membuat kerja pembersihan semburan air di atas jalan kerana berlaku tumpahan minyak yang datangnya dari treler," katanya.

Sinar Harian 11 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment