May 25, 2016

Dipenjara cederakan anak tiri

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipenjara dua bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan anak tirinya berusia tujuh tahun sehingga cedera di belakang kepala.

Majistret Husna Dzulkifly juga memerintahkan Mohamad Nazrin Hashim, 25, jurutekni, dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Mohamad Nazrin dituduh dengan sengaja mencederakan anak tiri itu dengan memukul badan dan mencederakan belakang kepala mangsa di rumahnya di Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Cheras, di sini pada 11 malam, 18 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak lebih RM4,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 19 Mei lalu, ketika mangsa berada di perhimpunan pagi sekolah, guru mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak bermaya dan ada kesan pendarahan di belakang kepala.

Kanak-kanak itu kemudian memberitahu bahawa dia dipukul bapa tirinya menggunakan objek dipercayai besi dan dibawa untuk rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebelum laporan polis dibuat.

Tertuduh melalui peguamnya Mohd Shmril Afzan, merayu hukuman ringan kerana tidak mempunyai rekod jenayah selain isterinya sedang hamil tujuh bulan serta menanggung ibu bapa.

myMetro 24 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment