May 5, 2016

Datuk, nenek ditahan kes kematian bayi

Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Alor Gajah: Sepasang suami isteri berusia 50-an ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang bayi lelaki berusia 22 bulan di Hospital Alor Gajah, semalam.

Datuk bayi terbabit dan isterinya, ditahan bagi membantu siasatan selepas bayi yang pada awalnya dikategorikan meninggal dunia mengejut (SDR), diragui kerana ada kesan kecederaan pada badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, pasangan suami isteri itu ditahan di rumah mereka di Durian Tunggal, selepas laporan bedah siasat di Hospital Melaka mendapati ada kesan luka pada badan, termasuk belakang dan kepala.

Beliau berkata, pada awalnya bayi terbabit dihantar ke Hospital Alor Gajah akibat sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia, namun bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan dipercayai akibat penderaan.

A Asmadi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman hingga Ahad ini.

myMetro 2 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment