May 26, 2016

Cacat penglihatan bukan halangan untuk berjaya

Tahir berjaya mengendalikan koperasi dengan baik sehingga membolehkan mereka menjadi antara 10 koperasi terbaik di Terengganu.

Mohd Azlim Zainury

MARANG - Buta mata tetapi bukan hati. Itu gambaran sesuai buat Tahir Musa, 65, yang gigih mencari rezeki bagi menampung kehidupan dan mencapai impian mengubah nasib golongan orang kurang upaya (OKU).

Apa yang mengagumkan, suami Cik Patimah Mat Diah, 65, itu merupakan Pengerusi Koperasi Tongkat Putih Taman Rahmat Berhad, sebuah koperasi yang dianggotai lebih 30 ahli OKU dari Taman Rahmat, di sini.

Koperasi itu adalah koperasi tunggal diuruskan golongan OKU penglihatan di Terengganu dan mungkin hanya sebuah sahaja di Malaysia kerana ahlinya juga merupakan golongan OKU.

Menurutnya, dengan bermodalkan RM1,800, koperasi yang mula dibuka pada Mei 2011 itu mampu mencatatkan peningkatan jualan setiap bulan dengan menjual barangan runcit pada harga murah berbanding kedai lain.

Menurutnya, selain pelbagai jenis barangan runcit, koperasi yang kini dianggotai 31 ahli terdiri daripada penduduk Taman Rahmat itu turut menjual produk kraf tangan dihasilkan ‘golongan istimewa’ di taman itu.

“Penduduk di Taman Rahmat rata-ratanya OKU, termasuk yang cacat anggota badan dan kami cuba berusaha meningkatkan taraf hidup tanpa banyak bergantung kepada bantuan kerajaan,” katanya.

Setakat ini, Tahir berjaya mengendalikan koperasi dengan baik sehingga membolehkan mereka menjadi antara 10 koperasi terbaik di Terengganu sekali gus layak menerima pelbagai ganjaran dalam tempoh empat tahun ini.

“Penghargaan juga diterima daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sempena sambutan Hari Koperasi Peringkat Kebangsaan pada 2012. Koperasi ini ketika itu telah dinobatkan koperasi terbaik OKU peringkat kebangsaan,” katanya.

Namun kejayaan itu, katanya tidak datang dengan mudah kerana sepanjang tinggal di Taman Rahmat sejak 1981, pelbagai kerja dilakukan sebelum dia berjaya menubuhkan koperasi berkenaan untuk membantu rakan-rakan senasib.

Sinar Harian
26 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment