May 5, 2016

Budak jatuh parit ditemui lemas

MAYAT mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat. FOTO ihsan pembaca

Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Mayat kanak-kanak yang terjatuh ketika mengambil selipar di tebing parit di Segambut, semalam, ditemui di Sungai Klang berhampiran USJ 1, di sini, pagi tadi.

Mayat berseluar biru tanpa baju itu ditemui orang ramai yang berada di lokasi pada 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pemeriksaan awal mendapati keadaan mayat sama seperti Syaiful Alhilal Hamim, 11, yang terjatuh dalam insiden di Segambut, malam tadi.

"Ketika kejadian hujan lebat dan kemungkinan besar mayat dihanyut arus sehingga ke sini.

"Siasatan diteruskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, mangsa dipercayai tergelincir ketika mengambil seliparnya yang jatuh di tebing parit berdekatan Masjid Al-Ubudiah, Kampung Segambut Dalam.

Difahamkan mangsa bersama lima rakannya bermain bersama berdekatan parit berkenaan sebelum hilang.

myMetro 3 Mei 2016


Budak dikhuatiri lemas

FOTO ihsan keluarga

Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ketika mengambil seliparnya yang jatuh di tebing parit berdekatan Masjid Al-Ubudiah, Kampung Segambut Dalam, di sini, dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan awam yang memaklumkan kejadian berkenaan pada 8.03 malam tadi.

Katanya, pihaknya difahamkan mangsa, Syaiful Alhilal Hamim, 11, bersama lima rakannya bermain bersama berdekatan parit berkenaan sebelum hilang.

"Maklumat saksi menyatakan mangsa terjatuh ke dalam parit ketika mengambil selipar dan terus dihanyutkan oleh arus lebih kurang 4 petang.

"Sewaktu kejadian arus parit berkenaan deras berikutan hujan lebat.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa sehingga kini masih diteruskan," katanya menerusi satu kenyataan.

myMetro 3 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment