May 23, 2016

Budak cedera dikelar bapa

Zuliaty Zulkifli
am@hmetro.com.my

Kodiang: Kanak-kanak perempuan cedera di leher selepas dikelar bapanya di Kampung Tengah Kodiang, di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, ibu saudara suspek dengan isterinya baru tiba di rumah sebelum lelaki terbabit, 29, datang dan terus mengambil anaknya berusia tiga tahun dan mengunci pintu menyebabkan mereka tidak dapat masuk ke dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mereka kemudian terdengar mangsa menjerit sebelum suspek membuka pintu dalam keadaan dirinya turut cedera di dada sebelah kiri selepas dipercayai menikam dirinya sendiri.

Menurutnya, isteri suspek kemudian mengambil anaknya dan membawanya ke Hospital Kangar untuk menerima rawatan.

“Ibu saudaranya pula kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibu suspek sebelum mereka membuat laporan polis.

“Hasil siasatan mendapati suspek sudah seminggu mengalami kemurungan dan kurang selera makan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, suspek juga mempunyai rekod sakit mental dan pisau turut ditemui di tempat kejadian.

“Kedua-dua mereka kini menerima rawatan di Hospital Kangar dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 309 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 22 Mei 2016


Kelar leher anak, tikam dada sendiri

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS

KODIANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun me­ngalami kecederaan sepanjang tujuh sentimeter di leher akibat dikelar bapa kandung yang gemar berkurung dalam bilik di sebuah rumah sewa di Kampung Tengah di sini kelmarin.

Sebelum kejadian pada pukul 5.30 petang, mangsa luka di leher manakala bapa kanak-kanak itu yang juga cedera di dada dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis untuk rawatan.

Selepas dirawat keadaan kedua-dua beranak itu dilaporkan semakin stabil.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Pemangku Asisten Komisioner Abd. Rahim Abdullah berkata, sebelum kejadian, isteri suspek, Satirah Norizan, 22, yang keluar bersama anak tunggal mereka baru sampai di rumah.

“Sebaik isteri masuk ke rumah, suspek terus mencapai mangsa lalu membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam bilik lalu mengunci pintu dari dalam,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 23 Mei 2016


Kelar anak, ibu dan nenek guna 
kudrat tendang pintu rumah

KANGAR 22 Mei – Seorang wanita dan anak perempuannya terpaksa menggunakan segala kudrat mereka dengan menendang pintu rumah beberapa kali sebaik sahaja mendengar jeritan cucunya yang me­raung kesakitan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, seorang lelaki berusia 29 tahun mengelar leher anaknya yang berusia tiga tahun di Kampung Changkat Logan, Kodiang, Kedah sebelum bertindak menikam bahagian dada kirinya dengan sebilah pisau.

Walau bagaimanapun usaha kedua-dua beranak itu untuk membuka pintu gagal menyebabkan mereka pasrah dan menangis.

Kejadian itu diceritakan datuk saudara kanak-kanak itu, Abdul Kadir Rozali, 62, yang memberitahu, insiden tersebut berlaku sebaik sahaja nenek mangsa, Maznah Abdul Roni, 43, sampai di rumah mereka dari Changlun, Kedah.

Katanya, Maznah menaiki motosikal bersama anaknya yang dikenali Shatirah, 22, dan cucunya, Nur Maisarah Muhammad Shafiq sebelum suspek dikatakan bertindak menarik mangsa ke dalam rumah.

“Tiba-tiba suami Shatirah menghampiri mereka lalu mengambil Nur Maisarah masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu dari dalam. Mula-mula mereka tak risau tetapi apabila mendengar jeritan Nur Maisarah, mereka panik lalu memanggil lelaki itu sambil menendang pintu rumah beberapa kali.

“Sambil itu, mereka mendengar jeritan lelaki tersebut menjerit ‘biar kami mati bersama’,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, hari ini.

Bercerita lanjut kata Abdul Kadir, suspek akhirnya membuka sendiri pintu rumah berkenaan dalam keadaan berdarah sebelum rebah bersama anaknya yang turut tercedera. Shatirah bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih dalam keadaan bersedih.

Sementara itu di Kubang Pasu, Ketua Polis daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abd. Rahim Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai rekod sakit mental mengalami masalah kemurungan sejak seminggu lalu.

“Mangsa kini stabil dan mengalami kecederaan di leher sepanjang tujuh sentimeter dan sedalam tiga sentimeter. Jika keadaan luka lebih dalam kemungkinan besar boleh menyebabkan kematian.

“Sementara suspek yang me­ngalami cedera pada dada kiri juga stabil. Suspek juga dikatakan mempunyai masalah dadah namun dikatakan sudah lama me­ninggalkan ketagihannya,” ka­ta­nya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 307/309 Kanun Keseksaan.

Rahim memberitahu, pihak polis turut menemukan sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk mengelar anaknya sebelum menikam dirinya sendiri dalam kejadian itu yang disiasat di bawah Seksyen 307/309 Kanun Keseksaan.

Utusan 23 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment