May 6, 2016

Bomba selamat wanita cuba bunuh diri

FOTO ihsan Bomba

Na'imah Mohamed
am@hmetro.com.my

Klang: Seorang wanita yang tertekan dengan masalah dihadapinya cuba menamatkan nyawa dengan mengelar pergelangan tangannya dalam sebuah stor di sebuah kilang di Meru, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, wanita berusia 25 tahun terbabit bagaimanapun berjaya diselamatkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik apabila berjaya dipujuk untuk menyerah diri kira-kira sejam selepas itu.

Difahamkan, wanita terbabit tertekan akibat masalah peribadi dihadapinya dan cuba dipujuk ibu bapa serta tunangnya yang turut berada di tempat kejadian selepas dihubungi rakan sekerja mangsa.

Ketua BBP Kota Raja, Omar Mohamad berkata, selepas cubaan memujuk oleh ahli keluarga dan tunang mangsa gagal, mereka menghubungi bomba pada jam 9.34 pagi dan seramai tujuh anggota tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

"Anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk memujuk mangsa keluar dan menyerah diri, dan ketika itu, dia sudah mengelar pergelangan tangannya menggunakan pisau.

"Dia kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dekat sini untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

myMetro 5 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment