May 4, 2016

Bomba bantu urusan mandi jenazah

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang membantu menyalurkan air dari jentera untuk memandikan jenazah berikutan kawasan itu ketiadaan air akibat musim kemarau. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mohd Zulkifli Zainuddin
am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Penduduk Kampung Tasik Bakong di sini terpaksa menggunakan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyalurkan air bagi memandikan jenazah wanita warga emas, malam tadi berikutan masalah bekalan air akibat musim kemarau sejak bulan lalu.

Suami arwah, Abdullah Yusof, 73, berkata, isterinya Rakiah Mamat, 71, secara tiba-tiba rebah ketika mengangkat takbir untuk menunaikan solat Asar 4.30 petang tadi.

"Ketika itu, arwah dalam keadaan sesak nafas dan sangat lemah. Saya terus mengajar mengucap sebelum nafas arwah berhenti," katanya.

Menurutnya, pihaknya berdepan kesukaran untuk memandikan jenazah berkitan kawasan berkenaan berdepan masalah bekalan air sejak seminggu lalu selepas dua telaga digunakan di rumah berkenaan kering berikutan cuaca panas dan tidak hujan sejak beberapa minggu lalu.

"Kami tiada pilihan lain terpaksa pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjanguntuk mendapatkan bantuan.

"Alhamdulillah, mereka sedia membantu dan segala urusan menguruskan jenazah berjalan lancar dengan bantuan mereka. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang bertungkus lumus membantu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi BBP Rantau Panjang Zaimi Samat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada beberapa saudara mara arwah pada 7.30 malam yang datang ke balai untuk mendapatkan bekalan air untuk memandikan jenazah.

Katanya, pihaknya bersama tujuh anggota termasuk satu jentera mula bergegas ke rumah arwah dan tiba pada 8.30 malam.

"Alhamdulillah urusan memandikan jenazah berjalan lancar dan selesai 10.45 malam tadi sebelum jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Licin di sini," katanya.

Zaimi berkata, ini kes ketiga sudah berlaku di kampung sama bagi mendapatkan bekalan air bomba untuk memandikan jenazah sejak tahun lalu.

myMetro 28 April 2016



0 comments:

Post a Comment