May 9, 2016

Bomba bantu bawa turun lelaki 100kg

Anggota bomba dengan bantuan jiran membawa turun lelaki seberat lebih 100kg yang mengalami masalah kesihatan. - Foto Ihsan Bomba

Kuala Lumpur: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor membantu membawa turun seorang lelaki yang beratnya dianggarkan lebih 100 kilogram dari tingkat atas rumah teres dua tingkat di Taman Seri Cheras, Cheras di sini, hari ini.

Lelaki berusia 31 tahun itu perlu segera dibawa ke Hospital Kajang dekat sini, selepas mengalami masalah tekanan darah tidak stabil dan kesukaran bernafas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang Faizad Amirul Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.42 pagi tadi daripada pihak ambulans Hospital Kajang yang berdepan kesukaran membawa turun lelaki itu.

"Bomba menggunakan stretcher (usung) untuk membawa turun mangsa dan dimasukkan ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya lapan anggota bomba dan lima anggota keluarga dan jiran pesakit membantu usaha itu yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

myMetro 9 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment