May 8, 2016

'Berkat doamu ibu'

LAPORAN Harian Metro 25 September 2010.

RUDY (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Shahril (kiri) sambil disaksikan Muhamad Saffid (dua dari kanan).

Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Dirinya tidak seperti rakan seusia dengan keadaan fizikalnya seperti kanak-kanak berusia empat tahun, namun semangat ditunjukkan Muhamad Saffid Roslan, 27, untuk hidup berdikari sangat luar biasa meskipun hanya memiliki kelulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bukan tidak mahu meneruskan pelajaran, namun masalah pengangkutan dihadapi untuk ke sekolah ketika itu ditambah kedaifan keluarga memaksa Muhamad Saffid berhenti sekolah dan melupakan cita-citanya buat sementara.

Sejak itu, rutin hariannya yang banyak bergantung kepada papan luncur dihabiskan dengan aktiviti perniagaan kecil-kecilan dan membantu ibunya menjual kuih-muih dan nasi lemak di sekitar Blok 38, Taman Cendana di sini.

Namun berkat doa ibu mengubah segala-galanya, manakan tidak, kata-kata nasihat dan perangsang untuk melihat dirinya berjaya tertunai apabila berjaya mengikuti kursus sijil kemahiran dalam Teknologi Maklumat (IT) di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP) mulai 2014 hingga 2015.

Kini, Muhamad Saffid yang bekerja sebagai penyelaras operasi di sebuah syarikat perkapalan di Pasir Gudang bukan saja menjadi kebanggaan keluarga, malah masyarakat di sekitar Taman Cendana di sini, yang kagum dengan kecekalannya.

Lebih manis, pendapatan diperoleh hasil bantuan Yayasan Penyayang Pasir Gudang, bukan saja dapat digunakan untuk menyara keluarga, tetapi digunakan adik perempuannya yang berusia 20 tahun dan kini belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah.

Berkat rezeki gajinya juga, pendapatan Muhamad Saffid turut digunakan untuk perbelanjaan persekolahan dua adik kandungnya termasuk adik lelaki yang senasib dengannya, Muhammad Shahril, 14, serta adik perempuan bongsu berusia 10 tahun.

Berkongsi kisah hidup, Muhamad Saffid berkata, tanpa tunjuk ajar ibunya, Rossidah Rohani, 54, dia tidak mungkin memiliki keyakinan diri untuk meneruskan hidup seterusnya mengubah nasib keluarga.

“Tanpa nasihat dan doa ibu, saya mungkin terus menjadi penjual kuih-muih dan nasi lemak kerana ia menjadi perniagaan yang pernah kami ceburi,” katanya yang menerima kunjungan daripada Ketua Biro Harian Metro Johor Rudy Fazrunisyam Samarudin di kediamannya, semalam.

Terdahulu Rudy menyampaikan sumbangan barangan persekolahan bagi Muhammad Shahril dan barangan dapur tajaan Harian Metro.

Pada 2010 keluarga berkenaan menerima kunjungan Titipan Harian Metro yang turut menyampaikan sumbangan papan luncur baru bagi menggantikan papan luncur usang milik dua beradik berkenaan.

myMetro 8 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment